02 November 2021

Guru YIK enggan divaksin sudah ubah fikiran

 

Izani (berdiri, tengah) melawat pusat pemberian vaksin dos penggalak di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Sebilangan kecil guru di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang sebelum ini menolak vaksin Covid-19 telah berubah fikiran dan bersetuju untuk menerima suntikan tersebut.

Perkembangan itu menyaksikan kesemua tenaga pengajar YIK yang dianggarkan seramai 2,600 orang setuju untuk divaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr. Izani Husin berkata, guru terbabit berubah fikiran selepas mengadakan penerangan dan sesi kaunseling mengenai kebaikan vaksin.

“Saya lihat ia merupakan sesuatu perkara positif lebih-lebih lagi pemberian suntikan vaksin ini mengambil kira pendapat daripada pakar perubatan dan agama.

“Bagi guru Jabatan Pendidikan Negeri pula (yang menolak vaksin), kita akan serahkan kepada jabatan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat program suntikan dos penggalak vaksinasi Covid-19 kepada barisan hadapan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Dalam majlis itu, kira-kira 500 petugas barisan hadapan terdiri daripada exco kerajaan negeri, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Imigresen menerima dos penggalak.

Sebelum ini, seramai 135 orang atau kira-kira lima peratus daripada 2,600 tenaga pengajar sekolah-sekolah di bawah YIK belum menerima suntikan vaksin Covid-19.-K! ONLINE

Tiada ulasan: