02 November 2021

Sokong pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 di Kelantan

 - Foto hiasan

- Foto hiasan

Kota Bharu: Ramai yang menyambut baik pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 bagi membendung salah laku dan jenayah syariah di Kelantan.

Pembantu farmasi, Salsabila Abdullah, 25, berkata, pelaksanaan enakmen itu amat tepat pada masa ini memandangkan maksiat dilihat semakin berleluasa.

Katanya, sebagai rakyat Kelantan, dia menyokong enakmen berkenaan kerana ia satu daripada cara untuk mencegah perbuatan tidak elok.

"Dengan adanya enakmen ini, orang ramai akan jadi takut untuk melakukan perbuatan yang salah di sisi agama Islam dan jadi lebih berhati-hati.

"Mungkin sebelum ini, orang terlepas pandang dengan melakukan perbuatan tidak baik kerana hanya dikenakan hukuman yang ringan, tetapi menerusi enakmen ini hukumannya lebih berat," katanya ditemui di bandar ini, hari ini.

Pekerja swasta, Akashah Rafdi, 22, berkata, selain bagi mencegah maksiat, individu berkaitan pastinya bimbang untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Katanya, dia bersyukur kerana Kelantan melaksanakan enakmen syariah berkenaan.

"Saya berharap kerajaan negeri segera mewar-warkan perkara ini memandangkan tidak semua tahu dan faham berhubung pelaksanaan enakmen syariah ini.

"Dengan adanya penerangan, ia menjadikan rakyat lebih faham dan takut untuk melakukan kesalahan," katanya.

HMETRO.

Tiada ulasan: