PARIS: Jumlah korban pandemik COVID-19 kini mencecah lima juta mangsa di seluruh dunia, setakat semalam, sejak wabak itu tercetus di China hampir dua tahun lalu, menurut satu penjumlahan oleh AFP berdasarkan sumber rasmi.
Ia menyusuli empat juta kematian direkodkan setakat hampir empat bulan lalu, namun angka itu bertambah pada kadar lebih perlahan berikutan pemberian vaksin global yang sudah meliputi berbilion individu.
Malah, angka harian korban virus itu di dunia menurun kepada bawah 8,000 untuk kali pertama dalam tempoh hampir setahun, awal bulan lalu.
Bagaimanapun pada Khamis lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, dilaporkan berkata penularan wabak itu sedang meningkat di Eropah.
Dalam kalangan 52 negara dan wilayah membentuk rantau Eropah berdasarkan WHO, sebahagian besar peningkatan angka korban disumbangkan dari timur.
Russia yang dikatakan berdepan masalah ramai penduduknya meragui vaksin, mencatat rekod baharu angka harian jangkitan dan kematian, dengan purata lebih 1,000 korban sehari sejak 20 Oktober lalu.
Menurut data kerajaannya, Russia mencatat jumlah 239,693 kematian, setakat semalam.
Namun agensi statistik nasional, Rosstat yang melihat korban COVID-19 pada definisi lebih luas, menyatakan jumlah kematian sudah mencecah hampir 450,000, setakat akhir September lalu.
Selepas Russia, Ukraine dan Romania adalah dua lagi negara di Eropah yang merekodkan angka harian tertinggi korban COVID-19 - masing-masing dengan purata 546 dan 442 kematian sehari sejak tujuh hari lalu.
Amerika Latin dan Caribbean pula muncul sebagai rantau mencatat jumlah kematian yang tertinggi di dunia, iaitu 1,521,193 kes setakat ini.
Namun, angka harian kematian yang berlegar sekitar 840 kes ketika ini, menunjukkan penurunan sejak Mei lalu.
Sementara itu di Amerika Syarikat (AS) pula, lebih 1,400 kematian direkodkan setiap hari secara purata sejak tujuh hari lalu, menurun 15 peratus berbanding minggu sebelum itu.
Setakat ini, jumlah kematian akibat COVID-19 di AS sudah mencecah 746,747 kes.
WHO menganggarkan jumlah sebenar keseluruhan korban pandemik itu berkemungkinan dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada rekod rasmi, susulan lebihan kematian yang berkait secara langsung dan tidak langsung dengan COVID-19.
Begitupun, ia masih lebih rendah berbanding pandemik lain yang pernah melanda dalam sejarah dunia, seperti selesema Sepanyol yang meragut 50-100 juta nyawa antara 1918 hingga 1919. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan