02 November 2021

Isu pajakan: Wajar Kedah anjur referendum – pensyarah

 

Prof Dr Ahmad Fauzi.

Oleh  KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Tuntutan Kerajaan negeri Kedah yang menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan perlu mengambil kira pandangan rakyat Kedah sendiri, selain kerajaan.

Penganalisis Politik dan pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, apa pun bentuk usaha untuk menuntut kembali Pulau Pinang haruslah dengan rundingan semua pihak berkepentingan, bukan seperti era penjajah dahulu yang mana pandangan rakyat tempatan diketepikan dalam rundingan.

 

Menurutnya, antara yang perlu dirundingkan ialah pandangan rakyat di kedua-dua buah negeri, Kedah dan Pulau Pinang.

“Bukankah kita ada mekanisme politik yang dipanggil referendum atau pungutan suara yang digunakan sebelum pembentukan Malaysia dahulu? Fakta yang menyatakan bahawa kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat (walaupun tidak bersultan kerana kedudukannya sebagai sebuah negeri Selat di bawah pentadbiran British) dalam Perlembagaan Persekutuan perlu juga diambil kira (Bahagian 1, Artikel 1(2)),” ujarnya kepada HarakahDaily. 

Sehubungan itu, sebarang perubahan melibatkan pindaan Perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga Parlimen, yang terlalu sukar diperoleh dalam situasi politik sekarang.

Katanya lagi, ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Kedah tidak menuntut balik Pulau Pinang.

“Ini sendiri boleh dianggap sebagai persetujuan senyap (tacit agreement)  iaitu pelepasan hak Kedah terhadap Pulau Pinang,” katanya. 

Sementara itu, pensyarah Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia(UUM), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kesepakatan perlu ada bagi menerima apa-apa bentuk tuntutan daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi Kedah yang menuntut pajakan RM100 juta daripada Pulau Pinang.

Menurutnya, kerajaan Kedah boleh menuntut RM100 juta setahun sebagai royalti pajakan Pulau Pinang tetapi ia terpulang kepada kerajaan Persekutuan untuk meluluskannya. 

Prod Dr Mohd Azizuddin.

Mengulas lanjut, Azizuddin berkata, kerajaan Kedah boleh mempersoalkan tentang pajakan RM10,000 sekarang dan jika ingin menaikkannya sehingga RM100 juta, ia terpulang kepada mereka walaupun perkara itu agak sukar kerana ia memerlukan persetujuan kerajaan Persekutuan.

“Realitinya, status Pulau Pinang kini setara dengan Kedah cuma dari segi ‘gesture’ bayaran yang Pulau Pinang bayar pada Kedah dalam RM10,000. Cuma apabila pada zaman Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, pada 2018 kerajaan persekutuan meluluskan bayaran yang lebih tinggi. 

“Berdasarkan sejarah, negeri lain seperti Perlis pun pernah di bawah Kedah, jadi isu itu lebih kepada kesinambungan terkini tentang status negeri seperti yang kita lihat,” ujarnya lagi. 

Terdahulu, Kerajaan negeri Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan selepas mendapati ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan itu menjadi antara permohonan kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Menurutnya, ketika ini kerajaan negeri hanya menerima bayaran khas sebanyak RM10 juta setahun sejak 2018 dan royalti pajakan sebanyak RM10,000 setahun. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

Tiada ulasan: