02 November 2021

'Kalau lihat jasad si mati, saya tak boleh nak bayangkan' - Hakim

 Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah.

KUALA LUMPUR: "Kalau lihat kepada jasad si mati, saya tidak boleh nak bayangkan, sebab seterika wap kalau terkena di tangan pun sangat sakit," kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah.

Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang hari ini didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Semua tertuduh kecuali Mohamad Shobirin bersama 12 lagi turut dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Dua belas tertuduh itu adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan.

Bagaimanapun, hukuman penjara bagi Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Abdoul Hakeem diperintahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun 2017. Mahkamah juga membenarkan penangguhan hukuman penjara terhadap kelima-lima tertuduh sementara menunggu rayuan.

Sebelum ini, keeenam-enam mereka yang dihadapkan atas tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati mereka bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Terdahulu, Azman dalam penghakimannya, berkata dalam kes itu, saksi keenam pendakwaan (SP6), Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad mengesahkan kecederaan Zulfarhan adalah bersamaan dengan luka bakar.

Katanya, SP6 dan saksi ke-19 pembelaan (SD19), iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan bersetuju terdapat 90 kes tekapan seterika pada tubuh si mati kecuali pada bahagian muka dan belakang tapak tangan.

"Dengan kata lain, jika si mati memakai baju lengan panjang, sekiranya beliau panjang umur, maka parut tidak akan kelihatan. Begitulah betapa telitinya orang yang menekap seterika wap panas pada tubuh si mati," katanya.

Tambahnya lagi, jika terdapat campur tangan dari Klinik As Salam Bangi, ia boleh menyelamatkan nyawa si mati kerana kebiasannya, pihak hospital atau klinik kesihatan akan terus menghubungi polis sekiranya mengesyaki pesakit didera.

"Bagaimanapun, pihak klinik mempercayai si mati terbabit dengan letupan sehingga terkena semua bahagian tubuh, termasuk zakar dan testis si mati, tetapi tidak pada muka," katanya.

Malah, Azman sebelum menjatuhkan hukuman, berkata walaupun tertuduh dalam kes itu adalah pesalah muda, tindakan mereka seperti penjenayah tegar.

"Seterika wap ini kalau terkena tangan pun sangat sakit. Kalau di bahagian sensitif, saya tidak tahu si pelaku itu kita nak kategorikan sebagai apa. Saya tumpang menyesal, tumpang sedih atas ibu bapa kamu semua kerana kalau tidak, kamu semua akan menjadi pegawai operasi tentera," katanya.

Pada 30 September lalu, mahkamah selesai mendengar semua hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan pada akhir kes pembelaan.

Sepanjang perbicaraan kes yang bermula 29 Januari 2018, seramai 31 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, termasuk rebuttal (saksi untuk menyanggah) antaranya bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr Harniza Kosnan dan Dr Salmah.

Pada prosiding bela diri yang bermula 2 Oktober 2019, pembelaan mengemukakan seramai 20 saksi, iaitu Dr Rohayu serta penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan serta semua 18 tertuduh.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Lima tertuduh, Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin berdepan tuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik 04-10, blok penginapan Asrama Jebat, UPNM, antara jam 4.45 dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Abdoul Hakeem pula berdepan pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 12 lagi turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam Bilik 03-05, blok penginapan Asrama Jebat UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi, antara jam 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya, N Joy Jothi, manakala peguam bela terdiri daripada Amer Hamzah Arshad, Datuk Seri M Ramachelam, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim dan Datuk Hazizah Kassim.

BHARIAN.

Tiada ulasan: