02 November 2021

Malaysia tempah 87.9 juta dos vaksin COVID-19

  Foto fail NSTP

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Sebanyak 87.9 juta dos vaksin ditempah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Fasiliti COVAX dan secara rundingan terus dengan beberapa pengeluar vaksin COVID-19 setakat ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata tempahan itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM4.64 bilion merangkumi kos dan logistik vaksin.

Beliau berkata perincian perolehan vaksin COVID-19 adalah AstraZeneca melalui Fasiliti COVAX sebanyak 6.4 juta dos, Pfizer & BioNTech (44.8 juta dos) dan AstraZaneca/University of Oxford (6.4 juta dos).

"Selain itu, Sinovac membabitkan 20.4 juta dos, CanSino (3.5 juta dos) dan Gamaleya (Sputnik V) sebanyak 6.4 juta dos," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta kerajaan memperincikan jumlah kos dibelanjakan bagi perolehan vaksin COVID-19.

Khairy bagaimanapun berkata, bagi Gamaleya, ia tertakluk kepada kelulusan pendaftaran vaksin yang diterima daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

"Memandangkan kerajaan terikat dengan Non Disclosure Agreement (NDA) iaitu syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin, maklumat terperinci setiap perjanjian tidak boleh didedahkan termasuklah harga vaksin.

"Bagaimanapun, kos perolehan bagi setiap jenis vaksin dijelaskan dalam Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dijalankan sebelum ini," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan turut menerima sumbangan vaksin daripada beberapa negara.

Jepun menyumbangkan 998,499 dos AstraZeneca, Amerikat Syarikat (1,000,350 dos Corminaty), China (500,000 dos CoronaVac) dan United Kingdom (415,000 dos AstraZeneca).

"Dalam usaha untuk sama-sama meringankan beban dan kesukaran dalam menghadapi pandemik COVID-19, Kementerian Luar dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada Jun lalu menyumbang sebanyak 50,000 dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Bosnia," katanya.

BHarian.

Tiada ulasan: