02 November 2021

Sanusi terima gelaran Dato’ Seri

 

Oleh: SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor diperkenan menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (S.P.M.K) yang membawa gelaran Dato’ Seri sempena ulang tahun keputeraan Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah yang ke-79.

Darjah Seri Setia Diraja Kedah Yang Amat Dihormati (S.S.D.K) yang juga membawa gelaran Dato’ Seri turut dikurniakan kepada Pengarah Urusan Weststar Holdings Sdn Bhd, Tan Seri Dato’ Wira Syed Azman Syed Ibrahim. 

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim dalam satu kenyataannya kepada media awal pagi ini. 

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya antara 15 individu yang terpilih menerima anugerah Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (D.S.D.K) membawa gelaran Dato’.

“Anugerah Darjah Dato’ Seri Sultan Sallehuddin Kedah (D.S.S.S) yang juga membawa gelaran Dato’ diberikan kepada tiga individu lain iaitu Speaker Dun Kedah, Johari Bulat, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Mohd Fauzi Mustaffa,” kata beliau yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Kedah. 

Menurutnya lagi, Tuanku Sultan Kedah juga berkenan menganugerahkan Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati (D.G.M.K) membawa gelaran Dato’ Wira kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Dato’ Asri Hamidin@Hamidon.

Sementara, Darjah Dato’ Setia Pahlawan Negeri Kedah Yang Amat Berhormat (D.S.P.K) membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Dato’ Mohammad Abd Rahman dan Panglima (TLDM) Wilayah Dua, Laksamana Muda Rosli Ahmad. 

“Tiga individu iaitu Brigedier Jeneral Ahmad Faiezzelan Abdul Karim, Penolong Pengarah EIC Cawangan Khas E, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, SAC Dr Lim Joo Soon dan Pengarah Jabatan Kebakaran dan Keselamatan, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia, Edwin Galan Anak Teruki masing-masing akan menerima Darjah Dato’ Setia Pahlawan (D.D.S.P) yang membawa gelaran Dato’,” jelas beliau lagi. 

Tuanku Sultan juga berkenaan menganugerahkan Setia Mahkota Kedah (S.M.K) kepada dua penerima, Setia Diraja Kedah (S.D.K) 33 penerima dan pelantikan Jaksa Pendamai (JP) kepada dua individu terpilih. 

Menurut Dato’ Paduka Ammar, semua gelaran berkenaan diguna pakai secara rasmi bermula hari ini, 1 November 2021.

Majlis Istiadat Penganugerahan Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran dijadualkan akan diadakan pada tahun hadapan (2022) – HARAKAHDAILY 1/11/2021

Tiada ulasan: