KUALA LUMPUR: “Kesihatan saya terjejas sehingga mengalami katarak yang serius pada 2018 akibat kerap menangis ekoran kesedihan yang melampau,” demikian kenyataan impak mangsa, Hawa Osman iaitu ibu Zulfarhan Osman Zulkarnain yang dibacakan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Pembantu tadbir berusia 58 tahun itu mengakui turut mengalami darah tinggi kerana tidak dapat tidur pada waktu malam selepas kehilangan mangsa yang merupakan anak sulung empat beradik.
Menurut Hawa, kejadian itu menyebabkannya trauma untuk melepaskan anak-anak lain keluar berdikari sendirian dan menyambung pengajian di peringkat tertinggi kerana bimbang kejadian sebegitu akan berulang.
Selain itu, dia turut trauma untuk membenarkan adik-adik Zulfarhan memasuki badan beruniform ekoran tanggapan negatif ke atas badan itu yang meragut nyawa anaknya.
“Kehilangan arwah memberi kesan kepada saya dan suami kerana kami berdua menanam impian arwah akan menjaga kami ketika usia tua,” jelas Hawa dengan nada sebak ketika membacakan kenyataan itu.
Menurutnya, hingga kini dia masih dilanda kesedihan setiap kali nama arwah anaknya disebut.
Sehubungan itu, ibu Zulfarhan itu memohon hukuman setimpal supaya kejadian sebegini tidak berulang kepada ibu bapa yang lain sehingga mereka terpaksa merasai keperitan kehilangan anak yang disayangi dan merupakan harapan keluarga.
Sementara itu, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 57, memberitahu dia memaafkan kesemua tertuduh meskipun berat untuk melupakan tragedi yang menimpa anaknya.
Pemandu teksi itu bagaimanapun terkilan kerana tertuduh-tertuduh dan keluarga tidak berjumpanya dan isteri untuk memohon maaf seolah-olah Zulfarhan pula yang bersalah.
Ketika ditemui pihak media di lobi mahkamah sejurus keputusan diumumkan, Zulkarnain berterima kasih kepada hakim bicara yang telah menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada semua tertuduh.
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan