JAKARTA: Indonesia meneruskan rancangan memindahkan ibu negaranya ke kepulauan Borneo mulai suku pertama 2024, selepas beberapa kali cadangan itu tertangguh selama beberapa bulan susulan kemunculan pandemik COVID-19.
Dalam draf yang dikemukakan September lalu, ekonomi terbesar Asia Tenggara itu merancang memindahkan ibu negara dari Jakarta ke lokasi baru berkeluasan 56,180 hektar di wilayah Kalimantan Timur.
Rang Undang-undang (RUU) itu turut menyatakan Presiden dengan kelulusan Parlimen, boleh memutuskan siapa akan mentadbir ibu negara, membatalkan keperluan pilihan raya yang sering dicemari oleh pertembungan politik sengit.
Parlimen dijangka meluluskan RUU itu sebagai undang-undang tahun ini, membolehkan projek bernilai 489 trilion rupiah (RM192.16 bilion) dimulakan sebelum pilihan raya Presiden 2024.
Walaupun langkah itu mampu membantu mengekalkan legasi Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada penggal tahun terakhirnya, ia juga telah mencetuskan kebimbangan alam sekitar terhadap penebangan hutan.
Indonesia yang mempertimbangkan idea itu sejak berdekad lalu, akan menjadi negara ketiga di Asia Tenggara berbuat demikian selepas Malaysia memindahkan pusat pentadbirannya ke Putrajaya pada 2003 dan Myanmar memindahkan ibu negaranya ke Naypyidaw pada 2006.
Menurut Jokowi, penempatan semula itu akan membantu mengembangkan ekonomi di luar pulau Jawa yang paling tinggi populasinya, selain merapatkan jurang pendapatan di seluruh negaranya.
Pulau Jawa didiami hampir 60 peratus populasi penduduk Indonesia dan menyumbang lebih daripada separuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.
Kalimantan bahagian Borneo, Indonesia, menyumbang 5.8 peratus daripada penduduk dan membentuk 8.2 peratus daripada ekonomi.
Langkah itu diperlukan oleh Jokowi memandangkan Jakarta yang kini mempunyai 10 juta penduduk, sering mengalami kesesakan lalu lintas dan banjir serta tahap pencemaran tidak sihat.
Selain itu, Jakarta kian ditenggelami dengan dua perlima kawasan itu berada di bawah paras laut dengan sebahagiannya mendap pada kadar 20 sentimeter setahun.
Bagaimanapun, banyak pihak bersetuju cadangan itu termasuk kumpulan penggiat alam sekitar yang bimbang kemusnahan hutan hujan Kalimantan, serta kehilangan habitat spesies terancam orang utan, yang mana sudah kehilangan 30 peratus hutan dalam tempoh kurang empat dekad berikutan industri pulpa dan kertas serta ladang kelapa sawit.
Di bawah rancangan itu, ibu pejabat pentadbiran negara dipindahkan secara berperingkat antara dua hingga empat tahun, kecuali bank pusat dan pejabat utama pihak berkuasa perkhidmatan kewangan yang akan kekal di Jakarta sebagai hab kewangan dan komersial.
Hanya satu perlima daripada kos itu daripada belanjawan negara dengan selebihnya dibiayai pembiayaan swasta. - BLOOMBERG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan