02 November 2021

Garis panduan minuman keras, kejayaan DBKL tangani arak

 

KUALA LUMPUR: Penguatkuassan Garis Panduan Minuman Keras di Kuala Lumpur yang bermula semalam dianggap sebagai kejayaan kerajaan bagi menangani isu arak yang berlarutan sejak sekian lama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, pelaksanaan garis panduan itu sebagai satu kejayaan di bawah kerajaan yang ada sekarang.



Kata beliau isu tersebut sudah lama berlarutan sehingga menjadi isu dalam masyarakat, antaranya berlaku banyak kemalangan berpunca pemandu mabuk.

“PAS menerima baik langkah Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur menguatkuasa garis panduan tersebut, yang mana tidak boleh lagi dijual secara terbuka seperti sebelum ini,” katanya di sini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor yang memabukkan) bermula 1 November.

Unit Media DBKL dalam satu kenyataan memberitahu sebelum ini penguatkuasaan garis panduan berkenaan ditangguhkan selama sebulan Oktober lalu.

Katanya dalam tempoh penangguhan tersebut, DBKL mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk persatuan pengilang, pembotol dan peruncit, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur.

Garis panduan lesen minuman keras (LMK) yang diedarkan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, jenis aktiviti perniagaan yang dimestikan memohon lesen tersebut terdiri premis yang menjual atau menghidangkan arak.

Ia termasuk bar atau pub atau lounge, restoran, gudang atau stor dan semasa acara atau promosi yang menghidangkan minuman keras tersebut.

Kamaruzaman berkata, perkembangan yang berlaku itu sebagai satu permulaan yang baik untuk keharmonian masyarakat selepas berdepan dengan pelbagai isu berkaitan minuman keras. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

Tiada ulasan: