02 November 2021

AirAsia sambung semula penerbangan ke Thailand

 

KUALA LUMPUR: AirAsia Malaysia menyambung semula operasi penerbangannya antara Kuala Lumpur dan Thailand bermula 5 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata penyambungan itu dilaksanakan selepas Thailand membuka kembali sempadan antarabangsa mereka tanpa kuarantin kepada pelancong asing.

Beliau berkata, justeru pengumuman itu, AirAsia Malaysia akan kembali beroperasi dengan empat penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur ke Bangkok dan Phuket.

"Kumpulan percaya lebih banyak laluan dan kekerapan akan ditambah mengikut peningkatan permintaan perjalanan dengan pembukaan lebih banyak destinasi pada masa akan datang.

"AirAsia juga bersedia sepenuhnya memastikan penumpang dapat menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan tenang.

"Kami telah melihat sambutan yang menggalakkan daripada program Phuket Sandbox dengan lebih lapan kali ganda tempat duduk telah dijual termasuk tempahan akan datang, melambangkan pemulihan sektor pelancongan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Riad berkata, sempena kebenaran itu juga, bermula 1 sehingga 7 November 2021, pelanggan berpeluang menempah penerbangan ke Bangkok dan Phuket daripada hanya RM50 sehala.

Beliau berkata, tempahan itu adalah untuk tempoh penerbangan antara 5 November 2021 sehingga 28 Februari 2022 melalui ikon 'Flights' di airasia Super App.

Penumpang juga katanya boleh mendapatkan tawaran pakej penerbangan dan penginapan melalui ikon 'SNAP' di airasia Super App bermula hanya RM239 untuk perjalanan dalam tempoh yang sama.

"Pengunjung yang telah divaksin sepenuhnya dari Malaysia dan ingin bercuti ke Thailand perlu memenuhi syarat yang sudah ditetapkan oleh kerajaan Thailand sebelum membeli tiket penerbangan mereka dan sebelum ketibaan.

"AirAsia juga berbangga dapat menyokong inisiatif Thailand dan berbesar hati untuk mengendalikan lebih banyak penerbangan ke pelbagai destinasi lain di negara itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Malaysia dan Brunei, Lembaga Pelancongan Thailand, Nongyao Jirundorn, berkata sejak 1 November lalu, Thailand telah membuka kembali pintu kepada pelancong antarabangsa sehingga 17 daerah termasuk Bangkok, Chiang Mai, Hua Hin, Phuket dan Samui.

Beliau berkata, hampir semua perniagaan dan aktiviti kini boleh disambung semula dan beroperasi dalam keadaan normal baharu.

Thailand juga katanya meluluskan sejumlah 63 negara yang layak termasuk Malaysia memasuki ke Thailand tanpa perlu kuarantin serta mengurangkan jumlah insurans kepada AS$50,000.

"Ini memudahkan kemasukan pelancong asing ke Thailand dan menjadikan Thailand destinasi pelancongan pilihan," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: