01 November 2021

Sampan kayu berusia 1,000 tahun

 

SAMPAN kayu Maya dipercayai berusia 1,000 tahun ditemukan di selatan Mexico. – INAH

MEXICO CITY: Sekumpulan ahli arkeologi menemukan sebuah sampan kayu tamadun purba Maya yang dipercayai berusia lebih 1,000 tahun, di selatan Mexico.

Lapor BBC, sampan berukuran lebih 152.4 sentimeter (cm) ditemukan hampir utuh sepenuhnya, tenggelam dalam kolam air tawar berhampiran bandar raya Maya Chichen Itza yang sudah musnah.

Menurut Institut Antropologi dan Sejarah Nasional (INAH), sampan itu mungkin digunakan untuk mengeluarkan air atau disimpan semasa upacara ritual.

Sampan itu ditemukan ketika kerja-kerja pembinaan projek pelancongan baharu dikenali sebagai Kereta Api Maya.

Projek berbilion dolar Presiden Andres Manuel Lopez Obrador itu akan melalui lima negeri selatan Mexico.

INAH dalam kenyataan memaklumkan ahli arkeologi juga menemukan seramik, sebilah pisau ritual dan lukisan mural tangan pada permukaan batu di kolam dikenali sebagai cenote.

Jelas kenyataan tersebut, beberapa pakar dari Universiti Sorbonne di Paris akan membantu menentukan umur dan jenis kayu sampan yang ditemukan itu.

Tambah kenyataan itu, sebuah model tiga dimensi (3D) sampan juga akan direka bagi membolehkan replika dihasilkan dan memudahkan kajian lanjut dijalankan.

Tamadun Maya berkembang pesat sebelum Sepanyol menakluki wilayah tersebut.

Pada zaman itu, golongan kaum Maya memerintah wilayah yang luas di kawasan yang kini dikenali sebagai selatan Mexico, Guatemala, Belize dan Honduras.

Sampan tersebut dianggarkan berasal antara 830 dan 950 Masihi, menjelang akhir zaman kegemilangan tamadun Maya. – AGENSI

Tiada ulasan: