MELAKA: Kementerian Pendidikan mengarahkan pihak sekolah memeriksa status vaksinasi para guru bagi mengelakkan penipuan golongan pendidik antivaksin.
Menteri Kanannya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, semakan itu penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan terjamin.
Tegas beliau, kerajaan memandang serius perkara tersebut kerana tindakan segelintir guru yang enggan divaksin jelas bertentangan dengan arahan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Kementerian Pendidikan sentiasa mengingatkan guru-guru untuk mengambil vaksin. Ini sangat penting dalam ekosistem pendidikan kerana para guru sentiasa bersemuka dengan pelajar dan ibu bapa.
“Kita tidak mahu ada guru yang kata sudah divaksin, tetapi, sebaliknya yang berlaku. Justeru, pihak sekolah harus memastikan sijil digital vaksinasi setiap guru disemak mulai hari ini.
“Pihak sekolah akan memperoleh maklumat terkini berkaitan vaksinasi guru dan tindakan boleh diambil terhadap guru berkenaan berdasarkan data yang tepat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof.
Sementara itu, mengenai pengudaraan di sekolah, Mohd. Radzi mahu pemantauan dibuat pada bila-bila masa tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak sekolah.
Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu memastikan segala tatacara dan garis panduan dipatuhi dengan baik.
“Pada peringkat awal mungkin terdapat kurang kefahaman dan pendekatan yang boleh digunakan bagi mengoptimumkan pengudaraan di sekolah.
“Sekarang guru dan sekolah secara keseluruhannya melihat pengudaraan merupakan satu komponen penting dan mereka saling berusaha bagi memastikan pengudaraan bilik di sekolah pada tahap terbaik,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan