01 November 2021

Bajet 2022 dibahas di Dewan Rakyat hari ini

 Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto fail NSTP

Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Bajet 2022 yang dibentang Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat, mula dibahas oleh Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sesi perbahasan dijadual dimulakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas selesai sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan mengikut kebiasaan pembahas kedua adalah daripada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, Bajet 2022 dijadual dibahas di peringkat dasar selama tujuh hari dan akan digulung oleh menteri atau timbalan menteri kementerian-kementerian berkenaan selama empat hari sebelum dibahas di peringkat jawatankuasa selama 13 hari.

Selain itu, tumpuan persidangan hari ini turut terarah kepada isu mengenai sama ada kadar upah tinggi di Australia dan Korea Selatan menjadi punca ramai rakyat Malaysia sanggup bekerja secara haram di kedua-dua negara itu.

Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) akan mengajukan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, dan turut meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan tindakan yang diambil bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia menjadi buruh paksa di negara berkenaan.

Soalan berkaitan vaksinasi masih mendapat tempat pada sesi pertanyaan lisan apabila Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) meminta Menteri Kesihatan menyatakan secara terperinci berkenaan langkah keselamatan yang dijalankan bagi memastikan vaksin yang diterima bersesuaian dengan kondisi badan penerima.

Beliau juga ingin tahu bentuk pampasan yang diterima penerima vaksin sekiranya terdapat kesan sampingan selepas divaksin.

Selain itu, soalan berkaitan Kementerian Kesihatan turut diaju Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan usaha kementerian mengawal selia semua program HPV (Human Papilloma Virus) DNA yang kini sebahagian kecilnya dijalankan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN).

Nurul Izzah turut meminta Menteri Kesihatan menyatakan komitmen kementerian dalam memastikan kesemua pelajar berusia 13 dan 14 tahun yang terlepas vaksinasi HPV diberikan vaksin itu dalam masa terdekat.

Isu berkaitan Sabah dan Sarawak turut mendapat perhatian wakil rakyat daripada negeri berkenaan apabila Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) menimbulkan persoalan mengenai usaha untuk meningkatkan bekalan air bersih dan elektrik di kawasan luar bandar Sarawak, manakala Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) membangkitkan soalan mengenai pencerobohan pendatang tanpa izin di perairan Sabah.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 32 hari hingga 16 Disember.

– BERNAMA

Tiada ulasan: