JAKARTA: Pakar epidemiologi dari Universiti Gadjah Mada, Riris Andono Ahmad meminta semua pihak untuk terus konsisten dengan protokol pemakaian pelitup muka bagi mengekang gelombang ketiga jangkitan COVID-19.
"Penularan COVID-19 di negara ini kini terkawal. Jika ia dapat dikekalkan dan disokong dengan pematuhan masyarakat dalam pemakaian pelitup muka, risiko gelombang ketiga (jangkitan COVID-19) dapat dikurangkan," katanya semalam.
Memetik laporan portal berita antaranews.com, pakar epidemiologi itu berkata risiko gelombang baharu sentiasa meningkat apabila mobiliti masyarakat meningkat.
"Pergerakan bermusim yang mungkin meningkat ketika cuti akhir tahun antara faktor yang boleh meningkatkan risiko kes COVID-19," katanya.
Oleh itu, adalah perlu untuk mengurangkan risiko peningkatan penularan COVID-19 dengan strategi pencegahan yang konsisten merangkumi protokol 3M (memakai pelitup muka, mencuci tangan dan penjarakan sosial), 3T (ujian, pengesanan, rawatan), dan vaksinasi , katanya.
Beliau berkata kunci bagi kejayaan kerajaan mengekalkan keadaan semasa COVID-19 ialah dengan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risiko COVID-19, meningkatkan pematuhan protokol kesihatan dan meningkatkan kadar vaksinasi COVID-19 di negara ini.
Katanya, kerajaan juga perlu mengingatkan rakyat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan bekerjasama menghentikan penularan COVID-19.
Kes pertama COVID-19 disahkan di Indonesia pada Mac 2020.
Menurut Agensi Mitigasi Bencana Negara (BNPB), setakat semalam, sekurang-kurangnya 4,244,358 orang diuji positif COVID-19 di negara itu, manakala 4,088,635 orang telah pulih, dan 143,405 orang meninggal dunia akibat komplikasi virus.
Antara usaha untuk menangani pandemik COVID-19, kerajaan Indonesia melancarkan program vaksinasi di seluruh negara pada 13 Januari 2021.
Menurut data Kementerian Kesihatan, setakat semalam hampir 119,662,248 penduduk menerima dos pertama vaksin COVID-19, manakala 73,698,983 lengkap vaksin. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan