01 November 2021

Buah-buahan al-Quran kini tumbuh di Pakistan

 

SHAUKAT OMAR (kiri) semasa berada di taman Islam di Jinnah Urban Forest Park, Karachi.-AGENSI

KARACHI: Seorang jurutera berusia 80 tahun membina ladang Islam pertama di Pakistan dengan menanam tumbuh-tumbuhan yang disebut di dalam al-Quran.

Berinspirasikan dari Taman Botani Islam di Sharjah, jurutera yang banyak menghabiskan kehidupan profesional di Arab Saudi bakal melancarkan projek tersebut di selatan Karachi.

Shaukat Omari mahu menanam pelbagai pokok, tumbuhan dan pokok renek yang terkandung di dalam al-Quran seperti pokok zaitun, buah delima, pokok kurma dan sitrus.

Taman itu terletak dalam hutan bandar Jinnah dengan 25 jenis tumbuhan sudah ditanam setakat ini.

Taman itu terletak bersebelahan makan pengasas Pakistan, Quaid-e-Azam Mohammed Ali Jinnah.

Hutan bandar itu dirasmikan oleh Presiden Dr. Arif Alvi dan isterinya, Samina Arif Alvi, 17 Oktober lalu.

Shaukat berharap taman Islam yang dilengkapi kawasan permainan kanak-kanak akan siap dibuka kepada orang ramai dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Saya terinspirasi dengan kecantikan taman Islam di Sharjah. Hasil kajian mendapati sebanyak 22 tanaman disebut dalam al-Quran, sementara, 77 tanaman lain disebut dalam Hadis,” katanya kepada Arab News.

Menurut Shaukat, dia juga turut mendapat ilham daripada Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang begitu berdedikasi menentang perubahan iklim menerusi projek penanaman pokok di seluruh negara.

Malah, idea pembinaan taman Islam pertama ini bertujuan menanam lebih banyak pokok di seluruh makam Jinnah.

Apabila hutan bandar dilancarkan di kawasan berdekatan, Shaukat mendapat idea untuk mengadaptasi taman botani Islam Sharjah di sini.

“Saya fikir ia akan menjadi projek yang sangat baik kepada kanak-kanak, kerana hanya segelintir individu yang boleh menceritakan tentang tumbuhan dan tanaman yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis.

“Taman ini akan menjadi lokasi terbaik untuk mendidik pengunjung.

“Malah, lebih 75 peratus tanaman di sini boleh digunakan bagi tujuan perubatan. Kami berhasrat mahu beritahu kanak-kanak tentang ciri-ciri tanaman itu dan bagaimana ia disyariatkan oleh Nabi Muhammad SAW,” jelasnya.

UTUSAN.

Tiada ulasan: