01 November 2021

Mangsa banjir di Pendang meningkat 199 orang

 Anggota APM Pendang menyukat paras air di Kampung Alor Pudak, Mukim Tobiar yang baru dinaiki air malam tadi, berikutan hujan lebat sejak kelmarin.- Foto NSTP/Ihsan APM

Anggota APM Pendang menyukat paras air di Kampung Alor Pudak, Mukim Tobiar yang baru dinaiki air malam tadi, berikutan hujan lebat sejak kelmarin.- Foto NSTP/Ihsan APM

PENDANG: Peningkatan paras air di Sungai Pendang yang mencecah 3.03 meter berikutan hujan lebat, kelmarin menyebabkan bilangan mangsa banjir di daerah ini terus bertambah sehingga 199 mangsa dari 51 keluarga.

Setakat jam 8 pagi hari ini, sebanyak 12 kampung di daerah ini terjejas akibat banjir yang berlaku sejak 21 Oktober lalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff, berkata walaupun tiada hujan semalam, paras air di Sungai Pendang meningkat dan pergerakan air agak laju sehingga melimpah ke beberapa kampung.

Beliau berkata, setakat ini kesemua mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rakan Sukan Tanah Merah yang dibuka sejak 24 Oktober lalu

"Setakat ini, enam Mukim di daerah ini terjejas akibat ditenggelami air iaitu Mukim Ayer Puteh, Mukim Padang Peliang, Mukim Guar Kepayang, Mukim Padang Pusing, Mukim Bukit Raya dan Mukim Tobiar.

"Kampung yang terjejas adalah Kampung Sukamari; Kampung Batu 16; Kampung Alor Punti; Kampung Banggol Besi; Kampung Tanjung Radin; Kampung Tanah Merah Dalam; Kampung Seberang Pendang; Kampung Pondok Haji Hussein, Kampung Tok Pauh; Kampung Alor Ali; Kampung Alor Parit; dan Kampung Tok Sedau," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yuslina berkata, Kampung Alor Pudak Mukim Tobiar baru dinaiki air malam tadi selepas trend air sungai menunjukkan peningkatan semula selepas hujan lebat, kelmarin.

Beliau berkata, operasi pemindahan mangsa banjir turut disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan penghulu kampung yang terjejas banjir.

BHARIAN.

Tiada ulasan: