01 November 2021

Pembangunan NBL sediakan lebih 1,600 peluang kerja baharu

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

PUTRAJAYA: Pembangunan kilang getah nitril butadiena (NBL) di Bandar Getah Kedah (KRC), Padang Terap akan mewujudkan lebih 1,600 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk di negeri itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata projek yang mendapat pelaburan sebanyak RM3 bilion daripada Hong Seng Consolidated Berhad itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya menjelang 2023.

Katanya, ia satu projek pelaburan yang akan membawa limpahan besar kepada Padang Terap, sebuah daerah yang agak kurang membangun di Kedah.

"Dengan pelaburan yang diterima ini, saya yakin ia akan mengubah kawasan berkenaan menjadi sebuah daerah yang membangun dan maju.

"Pembangunan NBL juga secara tidak langsung akan memberi wajah baharu kepada landskap perindustrian sedia ada di Kedah dan saya optimis projek yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu mampu menarik pelabur dari dalam dan luar negara.

"Ia seterusnya akan membawa banyak manfaat kepada ekonomi dan peluang pekerjaan berkemahiran serta berpendapatan tinggi kepada penduduk tempatan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah secara simbolik di Hotel Zenith, Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Muhammad Sanusi turut mengucapkan tahniah kepada NCIA kerana berjaya merealisasikan KRC serta mampu menarik pelaburan yang berkualiti.

"Ini menunjukkan daya saing negeri ini dalam menarik pelaburan demi memacu pertumbuhan ekonomi di Kedah khususnya di kawasan kurang membangun.

"KRC ini juga akan mempercepatkan pembangunan industri getah negara untuk menjadi hab pengeluaran getah bernilai tinggi di ASEAN," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: