03 November 2021

28,033 rumah untuk tentera bakal dibina - Ismail Sabri

 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan memberi tumpuan khusus kepada agenda perumahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, antara usaha dilaksanakan ialah merangka Blueprint Perumahan 2.0 yang bermatlamat untuk membina 28,033 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang selesa dan kondusif dari 2021 hingga 2030, selain menyelenggara RKAT sedia ada di seluruh negara.

"Saya pernah menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini, justeru saya menyedari dan memahami keperluan perumahan bagi anggota ATM. Mengambil kira jumlah anggota ATM di seluruh negara ketika ini, pembinaan RKAT baharu di seluruh negara adalah satu keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman LTAT, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein: Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Ismail Sabri berkata, ketika beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Sri Mustapa Mohamed dan beberapa lagi pihak berkepentingan merangka Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), salah satu agenda yang menjadi keutamaan di bawah bab pertahanan ialah agenda perumahan anggota tentera.

"Alhamdulillah, RMK-12 sudah pun dibentang dan diluluskan, saya juga umumkan bahawa menerusi perancangan lima tahun ke hadapan negara, kerajaan akan membina kira-kira 10,200 unit RKAT dan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

"Penting untuk saya maklumkan, 1,509 unit sudah pun dalam proses pembinaan, manakala 7,343 unit lagi sedang dalam proses perolehan," katanya.

Beliau berkata, sebanya 2,000 unit RKAT yang bakal dinamakan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) akan dirasmikan hari ini yang memenuhi 85 peratus keperluan anggota ATM di Lembah Klang.

"Perbincangan dan persetujuan untuk menjadikan rumah mampu milik yang dibangunkan oleh LTAT di Bukit Jalil ini sebagai RKAT telah dilaksanakan semasa saya menjadi Menteri Kanan Pertahanan.

"Saya anggap ini sebahagian daripada langkah penting ke arah kesejahteraan Keluarga Malaysia. Lebih-lebih lagi, rumah yang bakal saya rasmikan hari ini, bukan rumah kosong, sebaliknya dilengkapi perabot, perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serbaguna, jimnasium, surau dan unit kedai yang mana sangat selesa dan kondusif untuk didiami," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: