03 November 2021

Kejar untung, sanggup tipu logo, sijil halal

 KPDNHEP bersama JHEAINS melakukan pemeriksaan terhadap dua premis di daerah itu semalam selepas didapati mempamerkan sijil halal dan menggunakan logo halal tanpa perakuan Jakim. FOTO ihsan KPDNHEP

KPDNHEP bersama JHEAINS melakukan pemeriksaan terhadap dua premis di daerah itu semalam selepas didapati mempamerkan sijil halal dan menggunakan logo halal tanpa perakuan Jakim. FOTO ihsan KPDNHEP

Port Dickson: Menggunakan logo halal tidak sah selain mempamerkan sijil halal milik pembekal bahan mentah seolah-olah perniagaan dijalankan mendapat pengiktirafan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Itu antara penyamaran dikesan dilakukan dua premis di daerah ini hasil operasi dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), di sini.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, empat pegawai penguatkuasa KPDNHEP dan empat pegawai dari JHEAINS memeriksa dua premis masing-masing di Bandar Port Dickson dan Jalan Batu 1, di sini, kira-kira jam 10 pagi, kelmarin.

"Kedua-dua premis itu disyaki menggunakan logo halal Jakim pada papan iklan dan pada bungkusan produk sejuk beku selain mempamerkan sijil halal pembekal bahan mentah tanpa mendapat kebenaran JHEAINS.

"Hasil pemeriksaan, kami mendapati kedua-dua premis melakukan kesalahan mengikut Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana dua kesalahan itu," katanya semalam.

Beliau berkata, penyalahgunaan logo halal dan sijil halal berkenaan boleh mengelirukan pengguna terutama bagi pelanggan beragama Islam.

"Pemilik premis boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu. Manakala hukuman bagi pertuduhan perbadanan adalah denda RM250,000," katanya.

Beliau mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan logo halal, sijil halal atau sebarang perakuan tanpa perakuan Jakim.

"Ia hanya boleh digunakan atau dipamerkan pemegang sijil halal sahaja," katanya.

HMETRO.

Tiada ulasan: