03 November 2021

AS lulus vaksinasi untuk kanak-kanak

 Kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di AS akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 mulai minggu depan. FOTO AFP

Kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di AS akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 mulai minggu depan. FOTO AFP

WASHINGTON: Pentadbiran Ubat dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat (AS) semalam, membenarkan pemberian vaksin Pfizer-BioNtech kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Keputusan itu mendapat pujian Presiden Joe Biden yang menyifatkannya sebagai 'titik perubahan' memerangi pandemik COVID-19.

Katanya, pemberian vaksin kepada kanak-kanak 'membolehkan ibu bapa menamatkan kebimbangan dan mengurangkan kebarangkalian anak mereka menyebarkan virus itu, selain ia langkah besar ke hadapan bagi perjuangan negara menumpaskan COVID-19'.

Beliau berkata, kerajaan memperoleh vaksin mencukupi bagi setiap kanak-kanak di AS, selain pegawai akan memulakan proses pembungkusan dan penghantaran jutaan dos, pada hujung minggu ini.

"Program ini akan diperhebat dalam beberapa hari lagi dan mula beroperasi sepenuhnya pada minggu depan," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Rumah Putih, semalam.

Beberapa hari selepas mendapat kebenaran FDA, vaksin itu disahkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, sekali gus membuka laluan bagi vaksinasi sehingga 28 juta kanak-kanak.

Kerajaan bagaimanapun mendahului keputusan itu dengan mendapatkan dos lebih awal untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Vaksin diberikan dalam dua suntikan dalam tempoh tiga minggu dengan setiap dos diselaraskan kepada 10 mikrogram (μg) berbanding 30μg bagi kumpulan dewasa.

Penutup pada bebuli kanak-kanak akan berwarna oren, menjadikannya mudah dikenali berbanding penutup ungu bagi kumpulan dewasa. - AFP


Tiada ulasan: