03 November 2021

Pengguna THiJARI lebih satu juta - Tabung Haji

 Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak. - NSTP/MUSTAFFA KAMAL

Menara Tabung Haji, Jalan Tun Razak. - NSTP/MUSTAFFA KAMAL

KUALA LUMPUR: Kemudahan digital Platform THiJARI telah menarik lebih satu juta pengguna sejak pelancarannya pada Februari tahun lalu, demikian kata Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata pendeposit ternyata cenderung dengan penggunaan teknologi dan kemudahan digital yang disediakan.

"THiJARI adalah inisiatif dan komitmen TH untuk memudahkan lebih lapan juta pendepositnya untuk melakukan transaksi secara dalam talian dengan selamat tanpa perlu hadir ke pejabat cawangan.

"Setakat ini, THiJARI telah merekodkan purata 50 ribu transaksi sehari dan sebanyak 1.5 juta transaksi sebulan, membabitkan nilai deposit lebih RM200 juta melalui dalam talian," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jumlah transaksi melalui THiJARI juga telah melonjak tiga kali ganda dalam masa setahun yang lalu.

"Ini menggambarkan permintaan yang tinggi daripada pengguna dan pendeposit yang semakin selesa dengan perkhidmatan digital yang ditawar oleh TH," tambah beliau.

TH berharap lebih ramai akan mendaftar sebagai pengguna THiJARI kerana ia selamat, lebih mudah serta menjimatkan masa dan kewangan.

Pendeposit boleh melaksanakan transaksi secara dalam talian seperti urusan pertanyaan baki, cetak penyata, simpanan melalui pindahan, semak status haji, pendaftaran haji dan rayuan haji di mana saja mereka berada termasuk di luar negara.

Pendaftaran adalah mudah dengan pendeposit hanya perlu melakukan tiga langkah saja untuk mendaftar sebagai pengguna di laman web THiJARI, www.thijari.com.my.

Seterusnya, aplikasi THiJARI boleh dimuat turun terus daripada Google Play atau App Store secara percuma ke telefon pintar atau tablet. -- Bernama

Tiada ulasan: