03 November 2021

UniSZA anjur Seminar Akidah dan Pemikiran Islam Peringkat Antarabangsa 2021, Sabtu ini

 

PETALING JAYA: Ketua Umum Majlis Ulama Jember Indonesia, Prof. Dr. KH Abdul Halim Soebahar akan menjadi pembentang utama Seminar Akidah dan Pemikiran Islam Peringkat Antarabangsa 2021 (SAPIA 2021), Sabtu ini.

Beliau akan membicarakan tajuk ‘Wasatiyyah Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dalam konteks masyarakat Islam di Indonesia’ dalam seminar anjuran Pusat Pengajian Usuluddin Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pengerusi seminar, Dr. Mohd. Hasrul Shuhari berkata, SAPIA 2021 dengan tema ‘Akidah ASWJ Melestarikan Keharmonian Masyarakat’ akan diadakan bermula 7.30 pagi sehingga 4.30 petang melalui platform Cisco Webex Event.

Katanya, turut membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Peranan institusi pondok dalam pengukuhan akidah ASWJ di Malaysia’ ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.

“Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad pula dijadual mengupas isu ‘Peranan ASWJ dalam berdepan penyelewengan akidah’”, katanya dalam kenyataan hari ini.

DR. MOHD. HASRUL SHUHARI

Seminar sehari itu adalah anjuran Pusat Pengajian Usuluddin Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), UniSZA dengan kerjasama Universitas Islam Negeri KH Achmad Siddiq (UIN KHAS), Jember Indonesia dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Dr. Mohd. Hasrul berkata,  seminar itu bakal menjelaskan ilmu akidah dan pemikiran Islam berpandukan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenarnya kepada masyarakat Islam. Dalam masa yang sama, memberi pendedahan mengenai penyelewengan terhadap ilmu ini.

Katanya, isu kompleks melibatkan ilmu ini perlu dijelaskan dengan bijaksana oleh para sarjana Islam untuk mengelakkan masyarakat Islam terpengaruh dengan elemen luar yang menyeleweng daripada landasan akidah dan pemikiran Islam yang betul.

“Seminar ini juga berhasrat untuk mendedahkan perancangan dan gerakan musuh-musuh Islam yang cuba mencemari kesucian Islam dan juga menggugat keutuhan pegangan ASWJ,” tambahnya.

Seminar itu terbuka kepada golongan pelajar, profesional khususnya ahli akademik, wakil institusi kerajaan dan swasta, para penyelidik, masyarakat awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Yuran penyertaan adalah RM20 untuk staf, pelajar Unisza dan UIN KHAS, peserta tempatan RM30 dan peserta antarabangsa RM70.

Mereka yang berminat menjadi peserta boleh menghubungi Mohd. Shaifulbahri Abdullah di bahri@unisza.edu.my atau hubungi 019-9055709.

Tiada ulasan: