03 November 2021

PRN Melaka: Polis kenal pasti 16 lokasi panas

 Anggota polis membuat Latihan Ketenteraman Awam OP PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah, hari ini. - Foto NSTP/Nuraliawati Sabri

Anggota polis membuat Latihan Ketenteraman Awam OP PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah, hari ini. - Foto NSTP/Nuraliawati Sabri

MELAKA: Polis mengenal pasti 16 lokasi panas yang perlu diberi tumpuan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata semua kawasan di negeri ini juga akan dijalankan pengawasan dan pemantauan rapi, selain kawasan yang dikatakan 'hot spot' diberi tumpuan.

Katanya, daripada 16 kawasan panas dikenal pasti itu lapan daripadanya di daerah Melaka Tengah, manakala baki selebihnya di daerah Alor Gajah dan Jasin.

"Apa yang kita maksudkan kawasan 'hot spot' kemungkinan menjadi tumpuan dan ada pertandingan banyak penjuru.

"Dijangkakan, kawasan ini mempunyai pertandingan lebih dua penjuru serta ada pecahan penyokong," katanya selepas Latihan Ketenteraman Awam OP PRN Melaka di Balai Polis Melaka Tengah di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapatkan bantuan empat unit dron bagi membuat pengawasan udara.

"Di kawasan ini kita akan gunakan unit dron untuk membuat penilaian keselamatan, selain bantuan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) Bukit Aman.

"Polis memberi jaminan PRN Melaka akan berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang kekacauan dan kita sudah bersiap sedia," katanya.

Abdul Majid berkata, untuk peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pihaknya mempunyai 17 pasukan 'strike force' yang ditugaskan di lapangan dengan membabitkan keseluruhan 3,835 anggota.

"Daripada jumlah itu, seramai 1,245 anggota adalah bantuan daripada kontinjen luar," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: