03 November 2021

PRN Melaka: Semua parti dijangka umum calon Jumaat hingga Ahad

 Persiapan di Bilik Gerakan BN Teluk Mas menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka. - NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Persiapan di Bilik Gerakan BN Teluk Mas menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka. - NSTP/SYAFEEQ AHMAD

MELAKA: Teka-teki sama ada Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan bertanding di satu daripada lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, akan terjawab Sabtu ini.

Kedudukan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sama ada mempertahankan kerusi DUN Lendu, juga akan dirungkai apabila Barisan Nasional (BN) membuat pengumuman rasmi senarai calon mewakili parti itu pada sebelah petang, hari berkenaan.

Setiausaha UMNO negeri, Datuk Mustafa Musa, berkata pengumuman itu dijadual dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Jentera BN bagi PRN Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Bagaimanapun, lokasi pengumuman masih dibincangkan, sama ada di Pusat Dagangan Antarabangsa (WTC) Kuala Lumpur atau di Bilik Gerakan BN negeri di Ayer Keroh, di sini.

"Ia susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap apa juga aktiviti membabitkan perhimpunan ramai," katanya ketika dihubungi.

BN akan meletakkan calon di semua 28 kerusi DUN pada PRN Melaka selepas PAS mengumumkan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bersama BERSATU dan GERAKAN pada pilihan raya berkenaan.

Ab Rauf yang juga Pengerusi BN negeri menjadi tumpuan pada PRN ini selepas spekulasi bertiup kencang menyatakan beliau bakal dilantik sebagai Ketua Menteri baharu jika BN berjaya memenangi pilihan raya ini.

Bagaimanapun, terdapat maklumat menyebut, bekas Setiausaha Kerja UMNO Pusat itu tidak akan bertanding di kerusi DUN, sebaliknya akan mencuba nasib merebut kerusi Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN yang pada ketika itu dianggotai UMNO, MCA, MIC dan GERAKAN hanya berjaya menang 13 daripada 28 kerusi dipertandingkan yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.

PRN Melaka terpaksa diadakan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Sulaiman, sekali gus menyaksikan kerajaan negeri yang diterajui BN tumbang.

Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) yang sudah digugurkan keahlian mereka dalam UMNO; Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) yang juga sudah digugurkan keahlian dalam BERSATU.

Susulan itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju supaya DUN dibubarkan di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka, selepas dicadangkan Sulaiman yang pada ketika itu masih mempunyai majoriti sokongan ADUN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November bagi undi awal dan 20 November hari mengundi umum.

Pakatan Harapan (PH) juga akan mengumumkan senarai calon bertanding, selewat-lewatnya Ahad ini.

Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew, berkata PH yang menggabungkan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) kini sudah di peringkat akhir memilih calon yang akan diumumkan menjelang hari penamaan Isnin ini.

"Biasanya, setiap parti komponen PH akan mengumumkan calon masing-masing terlebih dahulu sebelum ke majlis memperkenalkan calon di bawah nama PH. Sebarang perubahan mengenainya akan dimaklumkan kelak," katanya ketika dihubungi.

PN pula dijangka membuat pengumuman rasmi senarai calon bertanding, Jumaat ini oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bilik Gerakan PN negeri di Tanjung Minyak, di sini.

Tiada ulasan: