03 November 2021

Enakmen Kanun Jenayah Syariah: Tahniah Negeri Kelantan

 

TAHNIAH diucapkan buat Negeri Kelantan yang mula menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, selepas mendapat perkenan dari Sultan Muhammad V.

Usaha ini adalah batu loncatan pertama dalam memperkasa dan menaik taraf perundangan syariah di Kelantan. Sudah pasti, Enakmen Kanun Jenayah Syariah ini telah melalui berbagai fasa kajian dan penelitian, agar ia bersesuaian dengan perkembangan masyarakat pada hari ini.

Antara perubahan terbesar dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang berbeza dari sebelumnya, enakmen ini mempunyai 24 peruntukan baru yang sebelum ini tidak ada dalam enakmen yang terdahulu. Antara peruntukan baharu dalam enakmen ini adalah adanya peruntukan khusus berkenaan kesalahan sihir, pendakwaan palsu, persetubuhan dengan mayat serta bukan manusia, memutarbelitkan ajaran Islam, muamalat yang berlawanan dengan hukum serta penyalahgunaan tanda halal.

Selain itu, sepertimana yang disebut oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob, enakmen ini melaksanakan hukuman yang bersifat retributif dan restoratif. Dalam erti kata lain, ia bukan sekadar menghukum. Malah lebih jauh lagi, ia juga bersifat mendidik pesalah untuk tidak mengulangi kesalahan, dan mendidik masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan. Inilah hasrat sebenar pelaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah dalam Islam, ia bukan hanya menghukum, malah mendidik pesalah dan masyarakat dalam usaha membasmi terus perlakuan mungkar dan jenayah. 

Perundangan syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri, berdasarkan Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Segala pindaan terhadap Undang-undang Syariah Negeri, termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah harus dilakukan oleh negeri melalui Dewan Undangan Negeri.

Di peringkat Kerajaan Persekutuan, kita memainkan peranan bagi menyelaras dan menggerakkan pemerkasaan Undang-undang Syariah mengikut bidang kuasa yang ditetapkan, melalui perbincangan secara bersama dengan negeri-negeri, mesyuarat-mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam di Malaysia (MKI), serta perundingan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil di bawah JAKIM. Kerajaan Persekutuan amat mengalu-alukan sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri, dalam menaiktaraf perundangan syariah di negeri masing-masing. 

Kerajaan memandang positif pelaksanaan ini yang sudah pasti akan menjadi pemula kepada penaiktarafan dan pemerkasaan perundangan syariah di Malaysia. Diharapkan usaha dan aspirasi ini dapat menjadi contoh dan seterusnya diikuti oleh negeri-negeri lain, dalam memartabatkan Undang-undang Syariah di bumi Malaysia yang tercinta.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 3/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=437134274640285&id=100050311487174

Tiada ulasan: