03 November 2021

Ahli arkeologi temui tinggalan kerajaan purba di Arab Saudi

 Kota lama Al-Ula, Arab Saudi. - Foto fail NSTP

Kota lama Al-Ula, Arab Saudi. - Foto fail NSTP

AL ULA: Sekumpulan ahli arkeologi menemui tinggalan kerajaan purba Dadan dan Lihyan yang pernah menduduki kawasan di padang pasir dan berbukit Al Ula di bahagian barat laut Arab Saudi.

Al Ula yang juga destinasi pelancongan utama sejak ia dibuka pada 2019, dikenali terutama bagi makam Madain Saleh, iaitu sebuah kota purba berusia 2,000 tahun yang dipahat di bukit batu oleh kaum Nabatean iaitu sebelum datangnya Islam yang turut membangunkan Petra di Jordan.

Sebuah pasukan arkeologi Perancis dan Saudi kini berusaha untuk menggali lima tapak berkaitan dengan tamadun Dadanite dan Lihyanite, iaitu kuasa serantau penting yang berkembang 2,000 tahun lalu.

"Ia sebuah projek yang benar-benar cuba membuka misteri di sebalik peradaban itu," kata Pengarah Bersama Misi Arkeologi Dadan, Abdulrahman Al-Sohaibani.

Menjangkau kira-kira 900 tahun sehingga 100 Masihi, kerajaan itu mengendalikan laluan perdagangan penting namun tidak banyak yang diketahui mengenai mereka, lapor agensi berita CNA.

Justeru, pasukan itu berharap dapat belajar lebih banyak lagi tentang amalan ibadat, kehidupan sosial dan ekonomi mereka.

Penggalian sebelum ini terbatas pada kawasan perlindungan utama, kata Jerome Rohmer, seorang pengkaji bersama Pusat Nasional Perancis bagi Kajian Saintifik.

"Kami ingin memperolehi gambaran menyeluruh tentang kronologi tapak itu, susun aturnya, budaya, ekonominya.

"Ia adalah projek menyeluruh di mana kami cuba menjawab semua soalan itu," ," kata Rohmer.

Al-Ula semakin menjadi terkenal melalui usaha Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman untuk mengubah ekonomi dan masyarakat negara itu. Kerajaan Arab Saudi kini memberi tumpuan pada sektor pelancongan dalam usaha membuka negara itu kepada dunia dan mempelbagaikan sumber ekonomi negara.

Pembangunan Al-Ula adalah sebahagian daripada usaha untuk memelihara tapak-tapak warisan sebelum Islam menarik pelancong bukan Islam dan mengukuhkan identiti nasional.

BHARIAN.

Tiada ulasan: