23 Disember 2011

Desak naikkan harga padi

27 Muharram 1433H. [MOD] -

TANJUNG PIANDANG – Seramai 100 petani di beberapa kawasan di Kerian mengadakan demonstrasi aman di pekan Tanjung Piandang bagi mendesak pengilang Padi di daerah ini, menaikkan harga padi, semalam.

Antara petani yang terlibat dalam piket itu berasal dari Tanjung Piandang, Bagan Tiang, Sungai Bakau, Sungai Kota, Bagan Serai, Sungai Acheh dan Sungai Baru serta beberapa lagi kawasan berhampiran.

Wakil Petani Kawasan Sungai Bakau, Jalan Sempadan, Mohd Abu Hair, 33, berkata, tindakan itu dilakukan bagi memastikan harga padi di daerah ini diselaraskan seperti daerah lain di Perak.

Menurutnya, harga belian padi di daerah ini adalah RM1,070 setan manakala di daerah lain pula RM1,400 untuk satu tan.

“Harga padi di sini rendah berbanding daerah lain termasuk Sekinchan iaitu RM1,310 setan manakala Langkap pulaRM1,200 setan.

“Keadaan itu menyebabkan banyak petani mengeluh kerugian kerana terpaksa menanggung pelbagai kos yang kini meningkat termasuk sewaan jentera, baja dan racun yang berkualiti,” katanya kepada Sinar Harian.

Wakil Petani Kawasan Sungai Baru, Juhari Arbain, 34, pula berkata, pengilang sepatutnya menyelaraskan harga dan tidak membandingkan harga pembelian mengikut daerah.

Jelasnya, ini kerana, kualiti padi yang diberikan petani di sini tidak banyak bezanya dengan daerah lain.

“Kenapa harga belian padi berbeza-beza mengikut daerah sedangkan kualitinya lebih kurang sama.

“Hal ini dilihat adalah tidak adil kepada petani seperti kami di sini,” katanya.

Juhari berkata, jika hal itu terus berlarutan petani di sini tidak dapat memberikan prestasi yang baik berbanding sebelumnya.

Katanya, pihak kerajaan khususnya Jabatan Pertanian dan agensi terlibat perlu memainkan peranan agar nasib petani di sini terus terbela.

Kos pengangkutan kurang

Bagi Petani Kawasan Tanjung Piandang Kang Leang Chai, 30, dari segi jarak dan kos pengangkutan sudah semestinya pengambilan padi dari daerah Kerian lebih menjimatkan berbanding daerah lain.

Menurutnya, sepatutnya, petani di daerah ini menerima lebih banyak berbanding daerah lain kerana menjimatkan dari segi pengangkutan.

“Tetapi hal sebaliknya berlaku, jadi sebagai petani kami mahu pihak kerajaan meneliti semula harga beli bagi setiap tan di Kerian,” katanya.

Petani Kawasan Bagan Tiang, Mohd Zulkifli Baharom, 47, berkata, kami menggesa pihak pengilang mengkaji semula tahap pembayaran pada kadar RM1,070 setan ataupun diselaraskan semua harga bagi setiap daerah.

Katanya, selain itu, pelbagai masalah dihadapi petani memerlukan perhatian kerajaan termasuk menyelaraskan sistem pengairan yang dipantau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Kita juga berharap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) memainkan peranan membela nasib petani demi peningkatan hasil seperti yang diharapkan,” katanya.

Kaji semula masalah petani

Sementara itu, Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari berkata, kerajaan perlu mengkaji masalah dibangkitkan petani di sini yang mahukan harga pembelian padi dinaikkan ataupun diselaraskan dengan daerah lain di Perak.

Jelasnya, kerajaan boleh mendesak pengilang menaikkan harga belian padi kepada lebih tinggi.

“Jika hendak dibandingkan kualiti padi di daerah ini, tidak banyak bezanya namun, harga beliannya dibezakan tanpa alasan munasabah.

“Selain itu, masalah berbangkit seperti sistem pengairan dan urus selia padi dari Jabatan Pertanian perlu juga diberi perhatian serius jika mahu peningkatan padi Negara terus melonjak dari tahun ke tahun,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: