23 Disember 2011

Rampas 6 kenderaan curi

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Taktik licik pencuri kereta dengan menyamar sebagai penarik kereta terbongkar apabila polis berjaya memberkas salah seorang daripada suspek dan merampas enam kenderaan termasuk sebuah lori dalam serbuan di Kampung Pintu Geng, dekat sini, kelmarin.

Lelaki itu yang juga penagih tegar berusia 31 tahun dan berasal daripada Kampung Sri Landak, Pengkalan Chepa, ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota yang bergegas ke kampung berkenaan selepas menerima maklumat daripada orang ramai.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu, polis berjaya merampas sebuah lori dan dua kereta yang dipercayai dicuri serta ditinggalkan di Pintu Geng, dekat sini.

Beliau berkata, hasil semakan yang dibuat, ketiga-tiga kenderaan terbabit dilaporkan hilang di kawasan Kota Baharu dan suspek berkenaan juga mempunyai rekod jenayah.

Katanya, ketika serbuan, terdapat tiga lelaki sedang berusaha menghidupkan enjin lori yang dicuri di kawasan Jalan Kuala Krai, kira-kira jam 12 tengah hari Isnin lalu kerana dipercayai kenderaan tersebut mengalami masalah teknikal.

“Setelah melakukan intipan terhadap ketiga-tiga lelaki terbabit polis berusaha memberkasnya tetapi dua daripada mereka berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan terbabit dan salah seorang sahaja yang ditangkap.

”Ekoran tertangkapnya salah seorang lelaki terbabit, polis berjaya merampas tiga lagi kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda jenis Perodua Kembara, Perodua Kancil dan Proton Satria masing-masing di Bachok dan Pengkalan Chepa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, Pengkalan Chepa.

Azham berkata, dengan tindakan pantas dalam tempoh 24 jam, polis berjaya merampas empat kenderaan serta merampas nombor plat palsu yang dipercayai terlibat dalam kes curi kereta. Polis masih mengesan dua lagi suspek yang dipercayai ahli kumpulan terbabit untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan tidak menolak kemungkinan kereta yang dicuri itu dijual kepada rangkaian tertentu.

Katanya, siasatan awal mendapati ekoran daripada permintaan tinggi, lebih banyak kenderaan telah dicuri dan dijual dengan harga yang murah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: