23 Disember 2011

Penduduk dinasihat waspada

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KAMPUNG GENUANG INDIA - Penduduk sekitar Genuang India dinasihatkan supaya lebih berjaga-jaga dengan paras air yang semakin naik sepanjang hari untuk keselamatan bersama.

Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, sehingga jam 3 petang semalam belum ada penduduk kampung ini berpindah ke pusat pemindahan memandangkan rumah mereka masih lagi selamat didiami sehingga kini.

Walau bagaimanapun ka­tanya, sebuah keluarga di Kampung Melayu Raya sudah mula dipindahkan ke pusat pemindahan banjir pagi semalam apabila rumah mereka dinaiki air. Manakala beberapa perumahan di kawasan sama berada dalam keadaan berjaga jaga.

“Skuad Banjir di bawah Dun Kemelah buat pemantauan 24 jam bagi persekitaran yang mudah dinaiki air untuk memberi isyarat awal kepada penduduk supaya berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum rumah mereka ditenggelami air.

“Sehingga kini mangsa banjir Dun Kemelah membabitkan lapan keluarga dengan tiga pusat pemindahan dibuka sehingga jam 4 petang semalam dengan jumlah tertinggi mangsa di pusat pemindahan Pogoh seramai 35 orang,” katanya.

Menurutnya, dari segi keperluan makanan tidak timbul masalah kepada mangsa banjir yang telah ditempatkan di pusat pemindahan dan semuanya cukup selain barang keperluan harian yang mereka bawa sendiri seperti bantal, selimut dan sebagainya.

Ayub menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan keadaan air yang mungkin akan naik tanpa disedari contohnya ketika tidur dan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Pengalaman banjir awal tahun lalu kita lihat masih terdapat segelintir mangsa yang berdegil untuk keluar dan terus tinggal di rumah mereka meskipun air telah naik.

“Dengan adanya Skuad Bencana ini kita harap hasil pemantauan yang kerap dilakukan mampu membantu penduduk di bawah Dun Kemelah menerima input terkini tentang paras air sebelum berpindah ke pusat pemindahan,” katanya kepada Sinar Harian ketika meninjau keadaan paras air di kampung berkenaan semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: