23 Disember 2011

Terima keputusan syura dalam apa jua tindakan

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendukung keputusan PAS melalui mesyuarat Lujnah Politiknya yang disokong oleh kenyataan al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyusul selepas itu untuk memanggil tiga orang yang terlibat dengan pertikaian yang telah mencetuskan keresahan ahli dan penyokong PAS sejak beberapa hari kebelakangan ini bagi mendapatkan penjelasan 'rasmi' dan tindakan seterusnya.

“Kembali kepada mesyuarat atau syura adalah kembali kepada Allah, rasul-Nya dan ulil amri (syura) sebagai mana diseru oleh al-Quran, DPPM dengan penuh tawaduk meyakini bahawa menerima keputusan syura dalam menentukan apa-apa tindakan ke atas mereka yang terlibat adalah satu amal ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya,” kata timbalan ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kepada Harakahdaily.

Katanya, ketaatan kepada Allah akan mendekatkan parti PAS kepada janji-janji agung daripada Allah ke atas hamba-hamba-Nya yang berjuang di jalan-Nya.

Ini, ujarnya seperti yang dipertegaskan oleh DPPM sebelum ini, setiap perselisihan yang berlaku hendaklah diadili seadilnya oleh hakim yang diberi kuasa oleh ugama.

Justeru, kata beliau sebarang penghukuman awal oleh mana-mana pihak, luar dan dalam parti, adalah tertolak kerana ia pasti menambahkan kerosakan.

“Seperti kata al-Mursyidul Am, ia hanyalah ribut kecil yang dikencangkan oleh pihak yang enggan melihat kesepaduan jamaah Islam,” katanya.

Beliau berkata, DPPM dengan ini menawarkan kepada pihak yang bertelagah apa yang ditawarkan oleh Allah di dalam al-Quran iaitu kembalilah kepada jalan-Nya yang terbentang luas.

“Semoga Allah merapatkan kembali talian iman dan ukhuwwah sesama ahli,” katanya lagi.

Harakah Daily

1 ulasan:

fikrah islamiah berkata...

Ahli parti apatah lagi golongan pemimpin seharusnya lebih matang. bertelagah dalam media boleh merosakkan parti sendiri. Lainlah kalau propaganda parti boleh guna media.