23 Disember 2011

Maut terkena renjatan elektrik

27 Muharram 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Seorang penjual alat telekomunikasi maut setelah terkena renjatan elektrik dari alat pemanas air ketika mandi di bilik air di rumahnya di Changkat Bukit Gambir, petang kelmarin.

Menurut jurucakap polis, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, lelaki berusia 40-an dipercayai mandi dengan menghidupkan alat yang dipasang di dalam bilik air rumahnya.

"Dipercayai alat pemanas air yang digunakan mangsa mempunyai masalah litar pintas yang menyebabkan renjatan kepadanya.

"Kejadian itu hanya disedari isteri mangsa menemui suaminya mati di dalam bilik air," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat kelmarin.

Difahamkan, laporan bedah siasat mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada renjatan elektrik.

Mayat mangsa dituntut keluarga dan dikebumikan semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan ada menerima laporan dan berkata, sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian tidak membabitkan unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: