23 Disember 2011

Peratusan gred A meningkat

27 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seramai 7,571 daripada 76,829 pelajar mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Selangor.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Mahmud Karim berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 0.73 peratus berbanding pencapaian pelajar pada tahun lalu, iaitu melibatkan 6,907 orang yang memperoleh semua A.

Menurutnya, Gred Purata Nasional (GPN) juga menunjukkan peningkatan daripada 2.56, berbanding 2.60 pada tahun lalu, iaitu pertambahan sebanyak 0.4 peratus.

“Nilai gred purata yang kita capai pada tahun ini melebihi sasaran JPS, iaitu 2.58. Lagi kecil nilai itu, lebih baik keputusannya,” katanya.

Mahmud berkata, empat pelajar istimewa antara individu yang mendapat keputusan cemerlang dengan dua daripada mereka mendapat 8A, manakala dua lagi memperoleh 7A.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, keputus­an PMR 2011 merekod­kan keputus­an terbaik dalam tempoh lapan tahun.

Pengarah Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan (JPNWP), Datuk Khairil Awang berkata, pada keseluruhannya, pencapaian calon PMR 2011 bagi Wilayah Persekutuan (WP) meningkat berdasarkan GPN, iaitu 2.54 berbanding 2.59 pada 2010.

“Nilai GPN WP sebanyak 2.54 mengatasi Gred Purata Nasional, iaitu 2.71 di mana sejumlah 25,353 calon mendaftar untuk menduduki PMR 2011 iaitu 22,739 orang (89.69 peratus) adalah calon daripada sekolah di bawah kelolaan Kemen­terian Pelajaran Malaysia, manakala 2,614 orang (10.31 peratus) adalah calon dari sekolah swasta,” katanya selepas Majlis Penyerahan Keputusan PMR 2011 kepada sembilan pelajar yang mencapai gred A dalam semua mata pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Seri Rampai Kuala Lumpur, semalam.

Khairil berkata, calon yang mendapat gred A dalam semua mata pelajaran meningkat 193 orang iaitu daripada 2,103 orang pada 2010 kepada 2,296 orang pada 2011.

Menurutnya, prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu pada gred A menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 1.66 peratus manakala Bahasa Inggeris pada gred A pula mencatatkan peningkatan 2.35 peratus.

Menurutnya, enam sekolah di WP memperoleh kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur (KL), Sekolah Menengah Sains Selangor KL, Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki KL, Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur KL dan Sekolah Menengah Victoria KL.

Sinar Harian

Tiada ulasan: