23 Disember 2011

Empat beranak nyaris maut

27 Muharram 1433H. [MOD] -

KAMPUNG LUIT - Empat beranak yang sedang tidur di ruang tamu nyaris maut apabila bahagian hadapan rumah mereka di Batu 42, Kampung Luit, dirempuh sebuah lori tangki membawa 32 tan minyak masak, kira-kira jam 11.30 malam, kelmarin.

Lori yang dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai terbabas dan turut merempuh tiga kenderaan lain iaitu sebuah pacuan empat roda, lori dan van di hadapan rumah berkenaan.

Mangsa, Hamzah Mohamad, 69, berkata, dentuman kuat akibat rempuhan itu mengejutkan dia yang sedang tidur bersama isteri dan dua anak, lalu segera ke luar rumah bagi mengetahui perkara sebenar.

Menurutnya, sebaik membuka pintu, dia tergamam melihat sebuah lori tangki berada di hadapannya dan sebatang tiang beranda rumah patah.

“Lori ini terbabas lalu merempuh sebatang pokok mangga dan tiga kenderaan lain. Saya segera minta tolong jiran terdekat yang keluar menyaksikan kejadian itu untuk menahan bahagian bumbung dan siling beranda yang hampir roboh akibat tiang utama patah.

“Ini merupakan kejadian kedua menimpa kami sekeluarga kerana kira-kira 20 tahun lalu, sebuah bas pernah terbabas dan merempuh rumah serta merosakkan tujuh kenderaan lain, namun kami tidak menerima sebarang ganti rugi daripada pihak syarikat bas berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hamzah berkata, dia sekeluarga bersyukur apabila terselamat dan meminta syarikat lori berkenaan bertanggungjawab dengan menanggung kos kerugian yang dianggarkan melebihi RM100,000.

Difahamkan, pemandu lori yang ditemani isteri tidak mengalami sebarang kecederaan dan mendakwa kerosakan brek adalah punca kejadian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: