09 Februari 2012

2 pegawai didakwa manipulasi senarai jemaah haji

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Dua pegawai Lembaga Tabung Haji dituduh di Mahkamah Jalan Duta hari ini berhubung kesalahan memanipulasi pangkalan data untuk menjangkau giliran ke tanah suci bagi menunaikan haji.

Kedua-dua mereka dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997, masing-masing melakukan empat kesalahan membabitkan nilai rasuah antara RM6,750 dan RM20,000.

Tertuduh pertama, Roslan Mohamed Som, 47, seorang kerani, didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM, melakukan kesalahan pada 15 Julai 2010 antara jam 3.30 hingga 4.00 petang di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini.

Dia dituduh menerima rasuah menerima suapan RM6,750 daripada Samsudin Ibrahim, sebagai upah untuk melakukan satu perkara iaitu untuk tolong menguruskan nama-nama jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji pada 2010 supaya dapat pergi menunaikan haji tahun yang sama.

Tertuduh kedua, Afizul Md Yasin, 34, seorang juruanalisa sistem didakwa di bawah Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 kerana menggunakan program khas tanpa kuasa dalam pengubahsuaian kandungan pengkalan data sistem haji untuk Lembaga Tabung Haji.

"Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di lantai 13 Jabatan Teknologi Maklumat Bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji, Kuala Lumpur, apabila menggunakan komputer yang didaftar dengan membuat capaian ke Pengkalan Data Tabung Haji dan memasukkan rekod jemaah haji dengan menggunakan program khas 'Win SQL' tanpa kuasa akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan pengkalan data sistem haji untuk Lembaga Tabung Haji," kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menambah, tertuduh didakwa membuat kesalahan tersebut pada tiga tarikh berbeza iaitu 10 Jun 2010, 12 Julai 2010 dan 14 Julai 2010.

"Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan minta untuk dibicarakan," tambah kenyataan itu.

Kes mereka akan disebut semula pada 23 Februari ini.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulqarnain Hassan di hadapan Hakim Rozilah Salleh manakala kedua tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: