09 Februari 2012

PAS Negeri Sembilan tidak sentuh isu perkauman

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Feb: Pemimpin parti politik berhak mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi semangat kepada jentera parti, selagi tidak menyentuh isu-isu sensitif melibatkan agama dan perkauman.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani berkata, tiada salahnya PAS berceramah dan berkempen mengenai tawaran parti itu kepada rakyat Negeri Sembilan, sambil menafikan beliau mengeluarkan kenyataan berbau perkauman seperti didakwa Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"PAS telah melakukan gerak kerja pilihan raya di Negeri Sembilan, jadi apa salahnya saya mengeluarkan kenyataan untuk menaikkan semangat dan memberi keyakinan kepada jentera parti bahawa PAS boleh menang dalam pilihan raya umum ke-13," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Mohamad Hasan seperti dilaporkan media semalam berkata, Pakatan Rakyat harus berhati-hati dengan apa yang diperkatakan agar tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohd Taufek baru-baru ini yang menyatakan PAS telah mengenalpasti lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berpotensi dimenanginya pada pilihan raya umum akan datang.

Membalas kenyataan itu, Taufek berkata, sebagai pemimpin politik, beliau harus mempunyai keyakinan untuk menawan sesebuah kerusi sejajar dengan gerak kerja yang dilakukan.

"Saya tidak tahu beliau merujuk kepada kenyataan saya yang mana satu, tapi memang saya ada sebut tentang lapan Dun berpotensi itu.

"Jadi apa masalahnya? Saya bercakap berdasarkan gerak kerja yang dilakukan. Kalau dahulu tiada siapa menjangka Pakatan Rakyat dapat mengambil alih Selangor daripada BN. Jadi di Negeri Sembilan, tidak mustahil perkara itu berlaku. Kenapa perlu ada yang tersinggung sedangkan saya tidak sebut isu sensitif pun," katanya.

Adun Paroi itu juga berkata, Mohamad Hasan seharusnya turut menasihatkan pemimpin-pemimpin BN agar tidak mengeluarkan kenyataan berkempen yang menyentuh isu perkauman.

Katanya, apa yang dilakukan beliau selari dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga turun ke negeri-negeri Pakatan Rakyat untuk berkempen.

"Pakatan Rakyat tidak seperti BN yang sering mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman. DAP ancam Melayu dan sebagainya.

"Perdana Menteri sendiri pernah turun ke Kelantan dan kata yakin boleh rampas Kelantan. Tentulah ada rakyat Kelantan yang tersinggung. Jadi Mohamad Hasan perlu nasihatkan Najib jugalah agar tidak berkempen," sindirnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: