09 Februari 2012

Bekas naib pengerusi Koswip didakwa rasuah

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Bekas Naib Pengerusi Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan (Koswip) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan menerima rasuah RM270,000 berhubung kontrak bernilai RM1.5 juta, tujuh tahun lalu.

Sharuddin Abdul Malek, 49, didakwa menerima cek RM100,000 daripada pengarah urusan syarikat CAE Technologies Sdn Bhd, Mokhtar Ismail di Pasaraya Big 7, Wisma Mais, Jalan RU 3/9A, Seksyen 3, di sini antara 17 dan 19 September 2005.

Dia yang pada masa itu ahli lembaga koperasi didakwa sekali lagi menerima cek RM120,000 dan RM50,000 daripada Mokhtar di tempat sama antara 30 September dan 21 Disember 2005.

Wang suapan tersebut didakwa sebagai upah Sharuddin untuk mendapatkan kontrak bagi syarikat Mokhtar menjalankan kerja-kerja membekal, membangun dan menyelenggara sistem rangkaian portal dan sistem maklumat koperasi.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Sophian Zakaria mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Seksyen tersebut dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mohd Sophian memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin terhadap Sharuddin.

Bagaimanapun peguam Mohd Shahrullah Khan memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin dengan alasan Sharuddin kini bekerja ambil upah potong rumput dan perlu menyara isteri serta lima anak.

Hakim Asmadi Hussin menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan lapor diri pada Ahad pertama setiap bulan di Balai Polis Taman Dagang Ampang.

Kes ditetapkan 14 hingga 18 Mei depan untuk perbicaraan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: