09 Februari 2012

Kebolehan Noraini anugerah luar biasa

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BESUT - Keluarga pelajar Noraini Ismail, 17, yang tiba-tiba boleh bertutur bahasa Korea, Mandarin dan Jepun setelah terlibat dalam kemalangan baru-baru ini, meng­anggapnya sebagai anugerah. Ibu Noraini, Mansena Daud, 48, berkata, pada mulanya dia dan keluarga yang lain bimbang dengan keadaan Noraini tetapi bila difikirkan adalah satu kelebihan luar biasa.

“Tetapi anak saya mampu bertuturnya dan difahami orang yang menguasai bahasa-bahasa itu.

“Ia kami anggap anugerah daripada ALLAH,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan anaknya kini masih seperti sebelumnya yang boleh bercakap dalam bahasa Mandarin dan Korea tetapi sejak semalam Noraini lebih banyak bertu­tur bahasa Melayu dengan pelat Cina.

“Sejak dua hari lalu saya sengaja kejutkan dia ketika dia tidur pada sebelah pagi supaya tidak bercakap dalam bahasa-bahasa itu dan nampaknya usaha itu sedikit berkesan. Dia kurang bertutur bahasa Mandarin atau Korea,” katanya.

Suri rumah itu berkata, anaknya sebelum ini berkelakuan agak kasar seperti lelaki, bersifat lemah lembut dan lebih menghormati orang dewasa selepas kemalangan itu.

“Dia kini lebih berminat meminum air soya dan tidak lagi menggemari budu atau mengenali petai seperti yang disukainya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Noraini berkata, dia telah pergi ke HUSM, Kubang Kerian semalam bersama ibunya bagi mendapatkan rawatan lanjutan dan telah bertemu dengan Dr Azwani Che Yusof dari Klinik Psikiatri (Bahagian Pertuturan).

Sinar Harian

Tiada ulasan: