09 Februari 2012

Guru sekolah memandu mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SUNGAI PETANI - Seorang guru sekolah memandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memberi suapan kepada seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tahun lalu.

Seow Song Sun, 42, dituduh memberi suapan RM200 sebagai dorongan untuk membenarkan tenaga pengajar tanpa sijil mengajar (SM2/SPIM) memandu dan tidak mengambil tindakan kerana tidak memakai tali pinggang keledar, di Pintasan Barat di sini antara pukul 10 dan 11 malam, 12 Mei tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Hakim Norsalha Hamzah menetapkan RM4,000 sebagai jaminan dan menetapkan 8 Mac depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya SPRM, Fieza Fazlin Fandi manakala tertuduh diwakili peguam S.P Raman.- Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: