09 Februari 2012

Manis.fm: Apakah Terengganu sangat perlukannya?

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 9 Feb: Ketika rakyat berada ditangga kedua tercorot dalam jumlah rakyat termiskin di negara ini, langkah kerajaan negeri Terengganu membeli stesen radio Manis.fm mengejutkan rakyat negeri ini.

Ini kerana, mereka tidak fikir ini langkah yang perlu dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu dalam memenuhi keperluan sebenar rakyat negeri itu.

Menurut Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, ramai kalangan rakyat Terengganu tertanya-tanya mengenai pembelian stesen Radio Manis FM yang berpangkalan di Kota Bharu oleh kerajaan negeri dengan harga RM7 juta.

Stesen ini pada asalnya merupakan stesen Radio KADA milik Tan Sri Hussein Ahmad yang diberi lesen radio berkenaan melalui Husa Network Sdn Bhd.

Radio Manis FM dengan rasminya menjadi radio kerajaan negeri apabila proses mengambilalih stesen berkenaan dilakukan oleh Lembaga Tabung Amanah Terengganu (LTAT) pada pertengahan tahun lalu.

Stesen berpangkalan di Kelantan itu juga dijangkakan berpindah ke bangunan berhampiran Wisma Darul Iman untuk menempatkan stesen berkenaan menjalankan operasi siaran harian.

Kawasan liputan stesen ini merangkumi negeri Kelantan, Pahang, Terengganu, Selatan Thailand dan sebahagian di kawasan tengah dan selatan tanah air.

(Tiga pemimpin utama PAS Terengganu sekarang...Wahid, Dr Syed Azman dan Yahaya membantah pembelian Manis.fm)

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut mempertikaikan langkah kerajaan negeri dalam menjaga kepentingan rakyat terbanyak di Terengganu.

Beliau turut mengkritik tindakan kerajaan negeri yang bercadang membina bangunan berkembar 30 tingkat di muara sungai Terengganu.

"Saya tidak fikir rakyat dan kerajaan negeri sendiri memerlukan stesen radio ini kerana kita sudah ada Radio Terengganu...buat apa kita bazir RM7 juta untuk pembelian satu lagi stesen radio," kata Yahaya Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu.

Terengganu sekarang sudah ada stesen radio RTM Pantai Timur Terengganu, Hot FM Terengganu dan Terengganu FM (TFM) yang disiarkan setiap hari di seluruh pelosok negeri.

Bagi Yahya, RM7 juta ini besar nilainya jika digunakan dengan baik untuk membantu rakyat negeri ini yang sedang dihimpit dengan pelbagai tekanan hidup ekoran kenaikan harga barangan yang mendadak di negeri ini.

"Ada yang berkata, kos hidup di Terengganu antara yang paling tinggi di Malaysia dengan harga barangan yang sangat tinggi khasnya barang makanan.

"Bagi saya, ia akan lebih bermanafaat kalau kerajaan memberikan tumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat meringankan bebanan sebegini," kata Yahaya yang juga bekas Exco kerajaan negeri Terengganu.

Tentangan terhadap pembelian stesen radio ini disuarakan oleh PAS melalui Mohamad Abdul Wahid sejak pertengahan tahun lepas lagi apabila kerajaan negeri mula membayar wang pendahuluan untuk pembelian ini pertengahan tahun lalu.

Ketika itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM4 juta untuk pembelian stesen ini.

Namun, pembelian ini tetap diteruskan oleh kerajaan negeri.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sejak bila terengganu adlah negeri kedua tercorot.. isu ini pasti untuk rakyat negeri terengganu..politik skrg semua cmpur adukkan dalam kepentingan individu mana-mana parti.pelbagai janji manis n tomahan mcm mn nk jd..parti yang bergabung untuk sementara untuk menang undi bila dah membentuk kerajaan nanti akan berlaku kacau bilau dikalangannya untuk menjadi kuasa.akhirnya rakyat yang sengsara,....