09 Februari 2012

Kos tinggi: Syarikat bas paling lama di Sandakan hentikan operasi

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SANDAKAN - Setelah beroperasi sejak 56 tahun lalu, Labuk Road Bus Co Sdn Bhd, sebuah syarikat bas paling lama di sini akan menghentikan operasi syarikat ekoran kos operasi yang tinggi.

Pengurus syarikat berkenaan, Henry Chu berkata dengan jumlah penumpang yang yang semakin berkurangan menyebabkan syarikat itu tidak dapat menampung kos operasi syarikat itu.

"Kami cuba bertahan tetapi disebabkan kos operasi yang tinggi dan jumlah bas mini yang semakin banyak, sudah sampai masanya operasi syarikat dihentikan daripada terus menanggung kerugian.

"Sebagai sebuah syarikat paling lama beroperasi di daerah ini, sudah tentu saya tidak ingin menutup operasi syarikat tetapi saya tidak mempunyai pilihan," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya faktor persaingan daripada pengendali bas mini yang banyak beroperasi di daerah ini menjadi antara penyebab penumpang tidak lagi menggunakan perkhidmatan bas syarikatnya.

Henry bagaimanapun tidak menyatakan bila syarikat, yang mempunyai 30 bas beroperasi di laluan antara Bandar Sandakan hingga Kilometer 25 (Batu 16) dan mempunyai 60 pekerja, itu akan menghentikan operasinya tetapi menjangkakan ia dilakukan pada tahun ini.

Kebajikan 60 pekerja syarikat itu akan diberikan keutamaan sebelum operasi syarikat dihentikan, katanya.

Beliau berkata syarikat itu tidak pernah mengambil mana-mana bantuan daripada agensi kerajaan termasuk berkaitan pengangkutan bagi membantu menangani kos operasi yang tinggi.

Henry turut berharap kerajaan dapat mengawal pengeluaran permit bas di daerah ini kerana jumlahnya kini yang sudah banyak.

Seorang pemandu bas di syarikat itu, Hussin Olong, 38, berasa sedih dengan keputusan majikannya mahu menamatkan operasi syarikat itu.

Dia yang bekerja di syarikat itu sejak 18 tahun lepas berharap majikannya dapat mencari jalan lain bagi mengatasi masalah kos operasi syarikat kerana di situlah punca pendapatan hidupnya sejak sekian lama.

Hussin berkata dia gembira dan bangga dapat bekerja di syarikat bas paling lama beroperasi di daerah ini. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: