09 Februari 2012

Nama pemain rasuah didedah

16 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengotakan janji untuk tidak ‘beri muka’ kepada pemain yang terlibat dalam rasuah bola sepak apabila menyiarkan nama pemain dan pegawai yang terlibat mengatur perlawanan, semalam.

Dalam kenyataan kepada media semalam, FAM mendedahkan nama 11 pemain pasukan Piala Presiden 2011 Negeri Sembilan yang didakwa terlibat dalam rasuah setelah Jawatankuasa Tatatertib mendapati wujudnya unsur-unsur rasuah dan gejala mengatur perlawanan.

Hukuman penggantungan pemain dan pegawai tersebut berkuatkuasa pada 30 November lalu.

Empat pemain iaitu Mohd. Yatim Abdullah, Adrian Davadas, Norhairi Abdul Rahman dan Muhammad Zulfadhlie Mohamad A’ashari dikenakan hukuman gantung selama setahun daripada terlibat dengan semua aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan.

Mereka juga tidak boleh mengemukakan sebarang rayuan kepada FAM.

Tujuh lagi pemain itu Muhammad Zaidi Othman, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Anwarul Hafiz Ahmad, Muhamad Haikal Mohamad Nazri, Suhairy Johari dikenakan hukuman lebih berat iaitu gantung lima tahun.

Pemain terbabit hanya dibenarkan membuat rayuan selepas menjalani hukuman penggantungan setahun.

Rayuan yang dibuat perlu dilakukan secara bertulis kepada FAM.

Ketua jurulatih pasukan Piala Presiden 2011 Negeri Sembilan, Yusarman Yusof pula digantung seumur hidup dan tidak boleh terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak.

Yusarman hanya boleh mengemukakan rayuan secara bertulis kepada FAM selepas 10 tahun menjalani hukuman.

Dalam kenyataannya, FAM turut mengumumkan pegawai-pegawai dan para pemain pasukan Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy 2011, pasukan Piala Presiden Johor MP Muar FC 2011, pasukan Piala Presiden Terengganu PBDKT/T-Team 2010 digantung sementara sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang akan datang.

Minggu lalu, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mendedahkan badan induk itu sudah mengenal pasti 18 pemain dan seorang jurulatih yang didapati terbabit dalam skandal rasuah pada Liga Malaysia musim lepas.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco FAM yang dipengerusikan Tengku Abdullah sendiri.

Kontroversi mengenai rasuah mula menggegar bola sepak tanah air apabila beberapa pemain pasukan Perlis disoal siasat kerana disyaki menerima wang daripada bookie untuk mengatur perlawanan ketika dibelasah 7-2 oleh MP Muar dalam aksi pertama Liga Perdana musim ini.

Sebagai langkah awal membanteras kegiatan itu, FAM melaksanakan pendekatan 3E (education, engagement, enforcement) atau pendidikan, pembabitan dan penguatkuasaan untuk membanteras kegiatan rasuah dalam arena bola sepak tempatan.

Tengku Abdullah memberitahu, melalui pendekatan 3E, selepas ini semua proses pendaftaran pemain perlu melalui satu badan khas yang akan ditubuhkan bagi mengenal pasti pemain yang memiliki rekod buruk.

“Kalau ada pemain yang mempunyai rekod tidak baik, kita tidak benarkan mereka beraksi dan lesen tidak akan dikeluarkan,” ujarnya.

UTUSAN MALAYSIA/-

Tiada ulasan: