BEIJING: Parlimen China akan mempertimbangkan perundangan untuk menghukum ibu bapa sekiranya anak mereka “berperangai buruk” atau melakukan jenayah.
Dalam draf undang-undang bagi mempromosikan pendidikan keluarga, penjaga kanak-kanak akan ditegur dan diarahkan menjalani program panduan pendidikan keluarga sekiranya anak di bawah jagaan mereka didapati bersikap buruk atau melakukan kesalahan jenayah.
“Banyak sebab untuk remaja berkelakuan buruk, dan kekurangan pendidikan keluarga atau pengajaran yang tidak betul adalah punca utama,” kata Zang Tiewei, jurucakap Suruhanjaya Hal Ehwal Legislatif di bawah Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC).
Draf undang-undang mempromosikan pendidikan keluarga itu yang akan diteliti minggu ini, turut menggesa ibu bapa menyusun masa untuk anak mereka berehat, bermain dan bersenam.
Beijing memainkan peranan lebih aktif dalam kekeluargaan tahun ini. Ini termasuk menangani ketagihan anak-anak terhadap permainan dalam talian hinggalah mengekang ‘pemujaan’ selebriti internet.
Sejak beberapa bulan lalu, Kementerian Pendidikan negara itu mengehadkan jam dibenarkan untuk golongan bawah umur bermain permainan video kepada hanya sejam pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Kerja sekolah dan kelas tambahan selepas waktu persekolahan pada hujung minggu dan percutian turut dikurangkan untuk mengurangkan tekanan akademik terhadap kanak-kanak.
FMT/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan