18 Oktober 2021

Susunan saf solat di masjid, surau dibincang Rabu ini

 Foto hiasan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kebenaran merapatkan susunan saf solat berjemaah di masjid dan surau akan diputuskan Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI), Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, muzakarah itu akan turut membincangkan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti di masjid dan surau.

Beliau juga sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan muzakarah berkenaan, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai peralihan fasa dan kelonggaran SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Oktober lalu.

"Muzakarah pada kali ini bertujuan mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan membincangkan beberapa isu SOP, khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau.

"Perbincangan ini termasuk cadangan SOP untuk merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah," katanya melalui satu kenyataan media.

Beliau berkata, ahli muzakarah yang dijadual hadir terdiri daripada mufti negeri, ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar serta wakil daripada KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya percaya muzakarah ini akan dapat mencapai satu keputusan demi maslahah orang ramai dan berharap aktiviti masjid dan surau, khususnya solat berjemaah akan dibenarkan seperti sedia kala dengan pematuhan SOP tertentu," katanya.

bharian.

Tiada ulasan: