18 Oktober 2021

Parti teras Melayu kena elak bertembung hadapi PRN Melaka

 

Oleh Dr Mohammad Tawfik Yaakub

TINDAKAN pemimpin UMNO Melaka menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri pimpinannya sendiri, diibaratkan pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam era moden yang memecahbelahkan parti dan menyebabkan kerajaan pimpinan parti itu tumbang.

Perbalahan politik dalaman turut mengheret rakyat ke kancah krisis politik lebih serius apabila membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN). Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Berdasarkan perkembangan politik semasa negeri dan nasional, laluan sukar bakal dihadapi parti Melayu seperti UMNO, PAS dan BERSATU. Ini disebabkan keengganan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sebahagian kepemimpinan tertinggi parti bekerjasama dengan BERSATU pada PRN itu.

Diakui, penolakan itu selaras dengan keputusan usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 menetapkan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan parti berkenaan. Malah, Ahmad Zahid memberikan gambaran UMNO akan bertanding secara solo dan kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN) tidak berupaya direalisasikan pada PRN Melaka.

Pendirian tegas UMNO mencetuskan pelbagai polemik dan kebingungan politik bukan sahaja kepada PAS dan BERSATU, malah orang Melayu, khususnya di Melaka dihantui perpecahan hingga dijangka menyukarkan mereka menetapkan pilihan pada PRN ini.

Bagi UMNO, PRN Melaka perlu dijadikan makmal untuk menguji respon pengundi akar umbi, sama ada menerima atau menolak pendirian semasa parti.

Namun, UMNO perlu menoleh sejarah kegagalan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila pertembungan lebih dua penjuru parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) dan PAS di kerusi Durian Tunggal dan Duyong menyebabkan undi pecah, sekali gus tewas dengan majoriti kecil.

Situasi sama turut dialami parti komponen bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Melaka dan negeri lain pada peringkat kerusi DUN, mahupun Parlimen.

Keputusan itu pengajaran besar perlu dipandang serius UMNO, BERSATU dan PAS bagi mengelakkan pertandingan lebih dua penjuru. Sekiranya parti terbabit nekad menentang antara satu sama lain, laungan perjuangan Melayu kekal menjadi kenangan khususnya di Melaka.

UMNO juga perlu menyedari rakyat dan pengundi Melayu semakin muak dengan perbalahan pemimpin hingga menyebabkan kehidupan mereka terancam kerana perlu keluar mengundi ketika negara berhadapan COVID-19.

Parti Melayu perlu menyerahkan mandat khas kepada kepemimpinan negeri masing-masing untuk mengatur strategi berhadapan PRN Melaka. Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menyatakan kesediaan berunding dengan UMNO mengenai kerjasama dan pembahagian kerusi di Melaka.

Keterbukaan pimpinan pusat perlu direalisasikan segera bagi menghasilkan kemenangan besar dan perlu diingati, kejatuhan kerajaan Melaka bukan disebabkan musuh luar, sebaliknya berpunca pergeseran pemimpin kanan UMNO di Melaka.

Pendekatan lain boleh diambil mengelakkan pertembungan tiga penjuru adalah mewujudkan strategi rundingan dua lapis. Kaedah ini memberi peluang kepada UMNO dan PAS berunding mengenai pengagihan kerusi DUN terlebih dahulu atas kapasiti MN, manakala bilangan kerusi diperoleh PAS, dirunding dan diagihkan kepada BERSATU pada peringkat kedua.

Strategi ini lebih efektif berbanding formula menyokong parti penyandang di kerusi DUN sedia ada diketengahkan PAS bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

Dalam persediaan menghadapi PRN Melaka, PAS perlu berperanan sebagai broker dan orang tengah meredakan ketegangan politik antara UMNO dengan BERSATU, meskipun berkorban beberapa kerusi.

Malah, mana-mana parti bersedia melakukan pengorbanan bagi memastikan kelangsungan kerjasama politik dan mengelakkan pertembungan tiga penjuru boleh ditawarkan posisi penting dalam kerajaan negeri, mahupun persekutuan atau kedudukan lain dinilai berbaloi dengan pengorbanan politik.

BERSATU dan PAS juga perlu menilai penerimaan pengundi Melaka berdasarkan jumlah keahlian parti di negeri berkenaan dan prestasi dalam PRU-14. Misalnya PAS tidak memenangi sebarang kerusi, manakala BERSATU hanya memenangi dua kerusi DUN.

Berbanding parti Melayu lain, UMNO berjaya mencapai prestasi baik pada PRU-14 dengan memenangi 13 daripada jumlah 28 kerusi DUN. Meskipun ketika itu gelombang tsunami politik terbesar melanda seluruh negara, UMNO mampu bertahan sebagai parti Melayu memenangi kerusi terbanyak di Melaka.

Oleh itu, BERSATU dan PAS perlu menilai semula pendirian untuk bertanding di kerusi sukar dimenangi. Sekiranya BERSATU dan PAS mampu bertolak-ansur, UMNO diyakini boleh dibawa semula ke meja rundingan menjelang PRU-15 kerana sejarah membuktikan parti berkenaan dinamik dengan persekitaran politik semasa.

Keadaan ini berlaku dua kali apabila UMNO bekerjasama dengan musuh politiknya, iaitu PAS pada 1971 menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

PRN Melaka penting kepada ketiga-tiga parti Melayu berkenaan untuk menilai semula tujuan pembabitan dalam politik. Ia juga pilihan raya paling penting berperanan sebagai simulator bukan sahaja kepada kerjasama politik, bahkan pengurusan perjalanan pilihan raya ketika era pandemik COVID-19 bagi memastikan elemen demokrasi terus subur.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi (UMCedel) Universiti Malaya (UM)

Tiada ulasan: