18 Oktober 2021

PRN Melaka 20 November

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

"Tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada 19 November," katanya pada sidang media, hari ini.

PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiada ulasan: