18 Oktober 2021

Polis jamin kelancaran PRN Melaka dengan norma baharu

 

MAZLAN (dua kiri) beramah mesra dengan anggota dan pegawai polis di Melaka pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan Kepada Pesara, Anggota dan Pegawai Awam Asnaf di Balai Polis Malim hari ini. Turut hadir, Abdul Majid (kiri). FOTO Bernama
MAZLAN (dua kiri) beramah mesra dengan anggota dan pegawai polis di Melaka pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan Kepada Pesara, Anggota dan Pegawai Awam Asnaf di Balai Polis Malim hari ini. Turut hadir, Abdul Majid (kiri). FOTO Bernama

Melaka: Polis akan menggerakkan sejumlah anggota untuk melancarkan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam suasana norma baharu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya sudah bersiap sedia berhadapan dengan PRN dan akan membantu sepenuhnya perjalanan pilihan raya berkenaan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan ada SOP tertentu, kita sedia laksanakannya dan buat masa ini kita mempunyai pasukan pematuhan di Melaka sebanyak 280 pasukan," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Balai Polis Malim, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 20 pesara polis.

Turut hadir, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, pihaknya sedang mengkaji keperluan mendapatkan bantuan pegawai dan anggota negeri lain bagi membantu kontinjen Melaka menghadapi PRN.

"Kita akan lihat pada keadaan dan jika diperlukan untuk tambah (anggota), (kita) tidak ada masalah jika keadaan memerlukan.

"Pasukan pemantauan juga begitu, jika perlu ditambah mengikut situasi PRN, ia akan ditambah memandangkan pasukan polis sentiasa bersiap siaga," katanya.

Hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh 20 November sebagai hari membuang undi bagi PRN Melaka.

Hari mengundi awal pula ditetapkan pada 16 November manakala penamaan calon pada 8 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada 4 Oktober lalu, berikutan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta kerajaan negeri.

hmetro.

Tiada ulasan: