18 Oktober 2021

Penonton cemas tempat duduk stadium roboh

 

THE HAGUE, Belanda: Aksi liga utama Belanda, Eredivisie di antara NEC Nijmegen menentang Vitesse Arnhem semalam bertukar cemas apabila tempat duduk penonton roboh ketika peminat sedang meraikan kemenangan.

Dalam insiden di Stadium NEC Nijmegen itu, penyokong pasukan pelawat melompat serentak di depan pemain-pemain mereka sejurus wisel penamat bagi meraikan kemenangan 1-0.

Bagaimanapun, lompatan berulang kali itu menyebabkan bahagian bawah tempat duduk berkenaan runtuh.

“Tiada kecederaan dilaporkan. Saya sangat terkejut. Banyak perkara terlintas di fikiran saya,” kata Presiden Nijmegen, Wilco van Schaik.

Datuk bandar, Hubert Bruls yang menonton perlawanan tersebut turut terkejut dengan insiden berlaku.

“Mujurlah tiada yang cedera. Saya mahu siasatan dijalankan secepat mungkin,” kata Bruls.

Vitesse akan melayani kunjungan Tottenham dalam Liga Konferensi Europa, Khamis ini.

Mereka diundi dalam Kumpulan G bersama Spurs dan setakat ini mencatat satu kemenangan dan tewas sekali. – AFP

Tiada ulasan: