JAKARTA: Indonesia mewajibkan pensijilan halal ke atas ubat-ubatan, kosmetik dan barangan pengguna mulai semalam.
Menteri Hal Ehwal Agama, Yaqut Cholil Qoumas, berkata langkah itu selaras Peraturan Kerajaan No.39 2021 mengenai Pelaksanaan Insurans Produk Halal.
"Mandatori pensijilan halal terhadap ubat-ubatan, kosmetik, dan barang-barang pengguna mulai dilaksanakan menerusi fasa kedua bermula 17 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2026," kata Qoumas dalam kenyataan media semalam.
Beliau berkata pelaksanaan itu bertujuan memastikan produk mendapat sijil halal seperti ditetapkan dalam peraturan, sekali gus dilaksanakan dengan baik dan menangani masalah peniaga dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.
Liputan produk dalam insurans produk halal sangat luas, termasuk makanan, minuman, ubat-ubatan, kosmetik, produk kimia, produk biologi, produk yang diubahsuai secara genetik, dan barang pengguna yang dipakai, digunakan, dan dimanfaatkan oleh orang ramai.
Memetik laporan antaranews.com, Ketua Agensi Pensijilan Halal (BPJPH) kementerian, Muhammad Aqil Irham, berkata penentuan halal untuk produk ditentukan secara terperinci dalam Artikel 139 Peraturan Kerajaan (PP) No. 39 tahun 2021.
Artikel itu menetapkan syarat produk disahkan halal yang akan dilakukan secara berperingkat.
Peringkat pertama merangkumi (a) produk makanan dan minuman; (b) bahan mentah, bahan tambahan makanan, dan bahan tambahan untuk produk makanan dan minuman; dan (c) hasil sembelihan dan perkhidmatan penyembelihan.
Artikel 140 menetapkan mandatori pensijilan halal ke atas produk berkenaan bermula 17 Oktober 2019 hingga 17 Oktober 2024.
Fasa kedua mandatori pensijilan halal ditetapkan dalam Artikel 141 PP No. 39 tahun 2021, yang meliputi pelbagai jenis produk termasuk ubat-ubatan tradisional, makanan tambahan kesihatan, ubat-ubatan hingga barang-barang pengguna. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan