18 Oktober 2021

Lelaki tak lengkap vaksinasi ditahan bawa ketum rentas negeri

 Pihak polis menjumpai dan merampas tujuh guni disyaki daun ketum di dalam sebuah kereta dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan kira-kira jam 11.00 malam, kemalrin. FOTO IHSAN PDRM

Pihak polis menjumpai dan merampas tujuh guni disyaki daun ketum di dalam sebuah kereta dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan kira-kira jam 11.00 malam, kemalrin. FOTO IHSAN PDRM

Behrang: Cubaan seorang lelaki tidak lengkap vaksinasi membawa 60 kilogram daun ketum dari Kedah ke Selangor gagal apabila kereta dipandunya diperiksa polis di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, kelmarin.

Hasil pemeriksaan polis kira-kira jam 11 malam itu, menemukan tujuh guni mengandungi daun ketum dalam kereta Toyota Camry dipandu lelaki berusia 53 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pemeriksaan dilakukan anggota yang menjalankan tugas pemeriksaan Pematuhan Pemantauan OP Covid-19 selepas mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan ketika berhenti di R&R terbabit.

Katanya, ketika melakukan pemeriksaan ke atas suspek mendapati lelaki itu dipercayai dalam perjalanan dari Kedah sedang menuju ke Selangor.

"Pemeriksaan ke atas tujuh guni disyaki daun ketum seberat 60 kilogram itu dianggarkan bernilai RM2,400.

"Malah pemeriksaan maklumat vaksinasi juga mendapati suspek tidak mempunyai dos vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sulizmie Affendy berkata, suspek dikompaun RM2,000 mengikut Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 P:U (A) kerana rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap.

Katanya, hasil semakan rekod lampau juga mendapati suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

"Suspek ditahan reman empat hari sehingga 20 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak lebih dari empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, walaupun rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan, polis mengingatkan dan menasihati orang ramai supaya tidak leka atau mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pastikan sudah lengkap dua dos vaksin sebelum membuat pergerakan dan menjaga diri serta ahli keluarga daripada dijangkiti virus Covid-19," katanya.

hmetro/-

Tiada ulasan: